Paling Popular
Terkini

Calon presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak pernah meminta nasihat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menguruskan Umno.

Berhubung pertemuan dengan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini, beliau menafikan pengisiannya untuk meminta nasihat.

"Saya tidak pernah meminta nasihat untuk Tun (Mahathir) beritahu saya bagaimana untuk menguruskan Umno.

"Saya dan rakan-rakan tahu bagaimana untuk menguruskan parti kami sendiri," katanya pada sidang media pada majlis Hari Raya Umno Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas lanjut inti pati perbincangannya dengan Dr Mahathir yang disifatkan sebagai pertemuan peribadi empat mata.

Terdahulu, seorang lagi calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah secara tidak langsung menempelak pertemuan antara pemangku presiden Umno dan Dr Mahathir itu.

Pemimpin veteran Umno itu berkata, beliau sesekali tidak akan merayu kepada Dr Mahathir untuk mendapatkan nasihat jika beliau pemangku presiden Umno.

Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas presiden Umno bertemu Dr Mahathir di Putrajaya pada 7 Jun lalu.

Dr Mahathir kemudiannya menjelaskan Ahmad Zahid telah meminta nasihatnya tentang bagaimana untuk mentadbir Umno.

Sebagai rekod, Ahmad Zahid dan Tengku Razaleigh merupakan antara calon presiden Umno berdepan pemilihan parti itu nanti selain seorang lagi calon popular iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Lihat Komen
ADS