Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dibenar memulakan prosiding dalam menentukan bahawa syarikat itu adalah pemilik eksklusif sumber petroleum dan pengatur industrinya di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.

Syarikat petroleum itu juga memohon perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, adalah undang-undang utama yang mengawal industri berkenaan.

Keputusan itu akan menjelaskan hak dan kedudukan Petronas dalam pengendalian industri minyak dan gas seperti yang termaktub di bawah PDA yang merupakan undang-undang Persekutuan.

Ia dijangka diumumkan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop selepas Mahkamah Persekutuan selesai mendengar permohonan syarikat itu mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Petronas selaku pemohon diwakili oleh peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Negeri Sarawak selaku responden diwakili oleh Peguam Negeri Sarawak, Datuk Seri J.C. Fong.

Pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan petisyen bagi mendapat perisytiharan bahawa syarikat itu memiliki kuasa eksklusif untuk mengawal selia aktiviti huluan dalam industri minyak dan gas di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

PDA yang digubal di Parlimen menyatakan, Petronas selaku syarikat minyak nasional mempunyai kawalan dan pemilikan eksklusif bagi industri minyak dan gas di Malaysia.

Tindakan mahkamah oleh Petronas itu dibuat susulan keputusan kerajaan negeri Sarawak yang mahu mengambil alih kuasa kawal selia penuh terhadap aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri itu melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Petros dilancarakan pada 6 Mac lalu oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Abang Openg bagi membolehkan kerajaan negeri memanfaatkan sendiri sumber-sumber minyaknya.