Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kedutaan M'sia pantau operasi SAR di Danau Toba

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal penumpang KM Sinar Bangun yang tenggelam di perairan Danau Toba, Sumatera Utara pada Isnin lepas masih belum dapat mengesan kapal berkenaan setakat tengah hari Khamis.

Kapal tersebut yang dipercayai membawa penumpang berlebihan karam akibat cuaca buruk.

Setakat semalam, empat mayat wanita ditemui dengan media tempatan melaporkan lebih 100 penumpang dipercayai masih terperangkap.

Seramai 19 penumpang ditemui selamat.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata pihak mereka turut memantau operasi SAR itu bagi memastikan tindakan segera sekiranya ada warga Malaysia terlibat.

Media Indonesia melaporkan pelbagai versi berhubung jumlah penumpang kapal dengan ada yang melaporkan lebih 100 penumpang, namun menurut data polis Daerah Sumatera Utara kapal itu berkemungkinan membawa 189 orang.

Kapal yang diperbuat daripada kayu yang hanya berkapasiti 43 penumpang itu dilaporkan tenggelam di perairan Danau Toba antara Kecamatan Simanindo, Kabupaten Samosir dan Desa Tigaras, Kecamatan Dolok Pardamean, Kabupaten Simalungun, Sumatera Utara pada Isnin kira kira 5.30 petang.

Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik agensi berita Antara turut mengarahkan operasi SAR diperhebat dengan melibatkan bantuan tentera dan polis.

"Atas nama peribadi dan seluruh rakyat Indonesia, kita menyampaikan dukacita yang mendalam," kata Joko di Istana Bogor, Jawa Barat hari ini.

Sementara itu, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) tetap melakukan pencarian penumpang korban tragedi Danau Toba meskipun cuaca hujan hari ini.

Ketua Operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Medan Basarnas, Budiawan dipetik berkata operasi bersambung semula 7.30 pagi tadi selepas dihentikan malam tadi turut menggunakan pasukan penyelam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS