KPKT semak semula dasar perumahan negara - Zuraida
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menyemak semula dasar perumahan negara bagi memastikan ia sesuai dengan situasi semasa negara, kata Menteri berkenaan Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata antara perkara yang akan diambil kira ialah menyelaraskan projek perumahan mampu milik dan diletakkan di bawah KPKT bagi memudahkan pengurusan.
Katanya semakan dasar itu akan melibatkan pihaknya bersama-sama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, pihak pemaju selain mendapatkan maklum balas daripada pembeli.
"Dasar perumahan negara itu perlu disemak sekarang untuk memenuhi situasi semasa dan manifesto Pakatan Harapan.
"Kami sedang menyemaknya, maknanya ada yang perlu ditambah baik. Saya rasa, menjelang hujung tahun ini, kami akan dapat mengemas kini dasar perumahan negara itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Kuching hari ini.
Zuraida berkata sekiranya projek perumahan diselaras di bawah KPKT, pihak kementerian boleh mengeluar satu garis panduan untuk semua pihak.
“Kalau projek perumahan di bawah satu bumbung, kita boleh beri panduan harga, skim, reka bentuk dan agihannya),” jelas beliau.
Sementara itu, Zuraida berkata semasa kunjungan hormatnya ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari pagi tadi, mereka antara lain membincangkan empat perkara.
Antara yang dibincangkan adalah skim perumahan mampu milik kepada rakyat dan kemudahan perkhidmatan bomba khususnya di pedalaman melibatkan rumah panjang.
“Pada pertemuan tadi, saya juga maklumkan hala tuju serta fokus KPKT melibatkan projek perumahan kepada golongan B40,” katanya.
Menurutnya beliau turut membangkitkan mengenai nasib gadis Penan yang dirogol supaya tindakan diambil kepada pelakunya selain masalah penduduk pedalaman yang masih gagal memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.
- Bernama

