Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Tan Sri Musa Aman dijangka tidak mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno bahagian Libaran pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.
"Tidak," kata sumber yang boleh dipercayai kepada Bernama apabila diajukan soalan sama ada Musa akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua Umno bahagian Libaran atau sebaliknya.
Umno Sabah mempunyai 25 bahagian iaitu Kalabakan, Tawau, Semporna, Silam, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran, Ranau, Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Keningau, Tenom dan Pensiangan.
Pada 19 Mei lalu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan tarikh mesyuarat dan pemilihan Umno peringkat cawangan, Pemuda, Wanita serta Puteri bermula 19 Mei hingga 10 Jun lalu.
Mesyuarat dan pemilihan Umno di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun ini dan semua persidangan dijalankan serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.
- Bernama
