Malaysiakini BERITA

K'jaan beri peluang naib canselor 'bermuka-muka' undur cara hormat

Wong Kai Hui  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Naib canselor universiti awam yang tidak sehaluan dengan kerajaan sekarang akan diberikan peluang untuk meletakkan jawatan dengan cara terhormat, kata Menteri Pelajaran Maszlee Malik.

Katanya, beliau telah bertemu dengan naib canselor di universiti awam secara peribadi dan berharap perkara itu dilakukan secara sukarela.

Beliau merujuk arahan kabinet awal bulan ini  yang memutuskan bahawa mana-mana pengerusi dan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan lantikan politik perlu digantikan.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga telah menyatakan pengawai-pegawai tinggi kerajaan yang tidak sehaluan dengan diminta berundur kerana dikhuatiri mereka akan merencatkan apa yang ingin dibawa oleh kerajaan, terutamanya untuk melaksanakan janji manifesto.

“Orang yang mempunyai rekod itu memang tidak sehaluan atau dikenali umum sebagai penentang kerajaan baru. Mereka memang diminta meletakkan jawatan dan juga mana-mana yang akan tamat tempoh, kita tidak akan lantik mereka semula.

“Cuma yang masih berkhidmat itu kita beri pilihan untuk mereka sebab rekod itu banyak di muncul di media massa yg mempertikaikan sebelum PRU (sebagai contoh) pertikai umur PM, dan mempertikaikan kelayakan kerajaan yang ada.

“Tapi sampai pukul 12 malam, mereka tukar pula. Kita tak mahu orang yang bermuka-muka ini.

"Kita menawarkan mereka untuk menngundurkan diri secara terhormat,” kata Maszlee pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa jawatan pentadbiran kanan pada masa depan tidak akan dilantik berdasarkan keahlian parti dan universiti-universiti awam akan bebas daripada politik.

"Kita akan pasti pelantikan yang layak saja.

"Saya janji kepada semua, pelantikan bukan kerana ahli parti saya yang dilantik . Ini untuk bezakan kita daripada kerajaan yang lalu dan memastikan universiti bebas daripada politik," katanya.

Dr Mahathir pada 1 Jun lalu mempersoalkan kesetiaan kakitangan awam yang secara terbuka berkempen untuk BN pada pilihan raya umum lalu kerana akan mengganggu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Menurutnya, walaupun penjawat awam berhak mengundi mana-mana parti pilihan masing-masing, namum mereka tidak sepatutnya menyokong secara terbuka atau berkempen untuk mana-mana parti politik semasa menjalankan tugas.

Sambil mengakui jumlah penjawat awam yang terlibat 'agak 'ramai' beliau berkata pihaknya juga mempunyai rakaman kegiatan segelintir penjawat awam yang berkempen secara terang-terangan untuk parti pada pilihan raya yang lalu.


Nota editor: Sebelum ini, terdapat ralat petikan kenyataan Menteri Pelajaran Maszlee Malik. Malaysiakini telah menukar perkataan pensyarah kepada naib canselor. Kesilapan yang berlaku amat dikesali.