ICGPA tak diwajibkan di universiti awam mulai hari ini
Pelaksanaan Pentaksiran Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) tidak lagi diwajibkan di universiti awam (UA) berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Berikutan itu katanya UA mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan program iCGPA tersebut atau menamatkannya.
Menurutnya keputusan itu dicapai selepas beberapa sesi pengkajian semula sistem iCGPA melibatkan warga akademik dan pelajar daripada institusi yang berkenaan bersama-sama pihak industri dan badan profesional diadakan.
Berdasarkan maklum balas dan perkongsian pendapat didapati sejak iCGPA dilaksanakan, tumpuan pensyarah telah beralih daripada tugas hakiki iaitu mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pascasiswazah dan berkhidmat kepada masyarakat, katanya.
"iCGPA menjadikan pensyarah sibuk dengan usaha mendokumenkan dan memantau aktiviti pelajar," katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.
Maszlee berkata jika pihak universiti ingin meneruskan program iCGPA di universiti masing-masing keputusan hendaklah dibuat selepas mencapai konsensus bersama kakitangan akademik melalui sesi diskusi dan konsultasi.
"Saya berharap keputusan ini akan dapat memberi ruang kepada para pensyarah untuk kembali menumpukan usaha kepada peranan dan tugas hakiki mereka demi mengangkat martabat universiti awam sebagai medan intelektual tersohor," katanya.
- Bernama

