Idris dakwa ada konspirasi, dendam di Tangga Batu
Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata ada pihak tertentu bersekongkol untuk menjatuhkannya melalui usul yang dirancang lebih awal.
Idris yang juga beka ketua menteri Melaka juga berkata sidang media yang diketuai timbalannya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, sudah diatur terlebih dulu.
Beliau yang gagal mempertahankan BN bagi mentadbir Melaka pada pilihan raya umum lalu menjelaskan ada kumpulan tertentu sengaja mengemukakan usul untuk menunjukkan kelemahannya.
Namun kata Idris secara prosedur usul undi tidak percaya ke atasnya adalah lemah, selain turut dipengaruhi emosi, dendam serta kenyataan tanpa fakta.
"Apabila melihat ada yang tidak kena dan dipengaruhi emosi, selaku pengerusi saya mengumumkan mesyuarat itu ditangguhkan," katanya seperti dipetik Bernama.
Terdahulu Jawatankuasa Umno Tangga Batu mengemukakan usul supaya Idris meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan Umno di bahagian itu serta Melaka dalam pilihan raya umum lalu.
Memetik kenyataan Abu Bakar Bernama melaporkan usul tersebut dikemukakan seorang anggota jawatankuasa dalam mesyuarat Umno Tangga Batu.
Ada yang berkecuali
Bagaimanapun Idris menamatkan mesyuarat berkenaan dengan tergesa-gesa dan meninggalkan mesyuarat.
Abu Bakar menjelaskan mesyuarat berakhir sekitar tengah malam dipengerusikan Idris dan dihadiri 31 anggota jawatankuasa bahagian.
"Setelah beliau (Idris) keluar mesyuarat dengan tujuh yang lain, saya mengambil inisiatif membincangkan usul itu dengan anggota jawatankuasa.
"Hasil undian, seramai 19 orang menyokong, dua menolak dan dua berkecuali," katanya pada sidang media di Klebang Melaka, tengah malam kelmarin.
Pada PRU ke-14 lalu calon PKR Dr Rusnah Aluai menang di kerusi parlimen Tangga Batu menewaskan calon BN, Zali Mat Yasin juga Ketua Pemuda Umno Melaka.
Idris mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dengan majoriti 2,229 undi. Bagaimanapun Abu Bakar yang sebelum itu Anggota Parlimen Tangga Batu tewas di kerusi DUN Paya Rumput.
BN hanya memenangi 13 kerusi DUN berbanding 15 oleh Pakatan Harapan.
Untuk pemilihan kali ini, Idris turut menawarkan diri untuk mempertahankan kedudukannya dalam Majlis Tertinggi Umno.

