Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia mengisytiharkan harta dan pemilikannya sebelum pemilihan yang dijadualkan pada 30 Jun ini.

Ahmad Zahid bakal bersaing dengan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin serta empat lagi calon lain untuk merebut jawatan presiden Umno pada pemilihan itu.

Kesediaan Anggota Parlimen Bagan Datuk itu berbuat demikian dilihat mengikut jejak langkah dua calon yang bakal bertanding bagi jawatan tersebut iaitu Tengku Razaleigh dan Khairy yang sedia berbuat demikian bagi menunjukkan ketelusan dan tidak terlibat dalam skandal rasuah.

"Tak apa... kita ikut... tak ada masalah... tak ada yang perlu disembunyikan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Badan Perhubungan Umno Terengganu di Kuala Nerus pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir pada majlis itu beberapa calon yang akan bertanding pada pemilihan itu termasuk Datuk Mohamad Hassan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Johari Ibrahim.

Tengku Razaleigh atau Ku Li sebelum ini bersedia membuat pengisytiharaan itu bagi membuktikan beliau tidak pernah melakukan salah guna kuasa dan rasuah serta untuk dibuat perbandingan oleh ahli parti.

Veteran Umno itu turut menyarankan semua calon yang akan bertanding dalam pemilihan kelak diperiksa bagi memastikan tidak ada calon yang terlibat dalam gejala rasuah.

- Bernama