Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Shahar mahu peluang buat perubahan radikal

WAWANCARA | Sebagai satu-satunya calon ketua Pemuda Umno yang bertaraf anggota parlimen, Mohd Shahar Abdullah berkata dia akan memastikan suara golongan terbabit akan didengari di Dewan Rakyat sekiranya berjaya memenangi jawatan tersebut.

Mengakui persaingan untuk jawatan nombor satu Pemuda Umno itu agak sengit, ia tetap tidak mematahkan semangat anggota parlimen Paya Besar itu.

Bagi Mohd Shahar dia yakin calon yang berjaya menambat hati golongan akar umbilah bakal memenangi jawatan ketua Pemuda Umno.

"Kita nak suara pemuda bukan sahaja didengar dalam parti. Jadi saya tawarkan diri supaya perwakilan ada pilihan, agar tradisi ketua Pemuda Umno bertaraf wakil rakyat dan anggota parlimen dapat dikekalkan," katanya.

Namun Mohd Shahar mengakui semua calon mempunyai kekuatan masing-masing. Cuma katanya, dia berbeza kerana merupakan anggota parlimen.

Justeru katanya jika terpilih menjadi ketua, dia dapat membawa suara dan harapan anak muda ke Dewan Rakyat.

"Jadi inilah masanya untuk kita jadi pembangkang yang bertanggungjawab, dan bawa perubahan dalam struktur pembangkang itu sendiri.

"Dulu kita selalu cakap pembangkang perlu jadi pembangkang yang kelas pertama, jadi inilah masanya untuk kita lakukan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Faham kehendak lebih penting

Bercakap mengenai manifestonya pula, Mohd Shahar memberitahu dia lebih selesa menggunakan perkataan "gerak kerja" berbanding manabur janji-janji yang tak pasti.

Katanya, apa yang akan cuba dilakukan jika menjadi ketua Pemuda Umno ialah menjadikan parti itu sebuah pertubuhan yang bersikap terbuka - dengan menerima kritikan serta memahami kehendak akar umbi yang sebelum ini terpinggir.

Malah, Mohd Shahar juga berpendapat, tindakan populis untuk memenangi hati rakyat juga tidak lagi boleh digunakan sekarang memandangkan ia pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Bagi saya, manifesto memang kita boleh cakap untuk bagi itu ini, tetapi paling penting kita kena faham apa yang mereka (pemuda dan akar umbi) nak.

"Kita kena tahu apa yang anak muda suka kerana Pemuda Umno sebelum ini gagal mengenal pasti apa yang anak muda suka kerana pemuda ini ada pelbagai kumpulan.

"Kadang-kadang kita silap. Kita buat program besar, syok sendiri, kita suka dengar benda yang sedap. Ini tak boleh sebab kelangsungan organisasi ini macam-macam," katanya lagi yang berhasrat untuk sentiasa turun bertemu anggota akar umbi tanpa menunggu sebarang jemputan daripada bahagian Umno.

"Saya tak perlu dijemput ke bahagian tetapi saya sendiri kena turun sebab kita kena ubah mentaliti, dan ia tak mudah.

"Jadi saya rayu kepada perwakilan agar beri peluang pada saya untuk buat pembaharuan yang radikal," kata ketua pemuda Umno Pahang itu lagi.

Jawatan nombor satu Pemuda Umno berdepan dengan sembilan orang calon selepas penyandangnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat keputusan bertanding bagi jawatan presiden.

Calon lain yang bertanding bagi jawatan ketua Pemuda Umno ialah Khairul Azwan Harun yang kini Naib Ketua Pemuda Umno, bekas timbalan menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara Wan Agyl Wan Hassan.

Khairy menyandang jawatan ketua Pemuda Umno sejak 2008.

Pemilihan sayap parti - Pemuda, Wanita dan Puteri - akan berlangsung pada Sabtu ini manakala bagi pemilihan peringkat pusat pada 30 Jun depan.

Lihat Komen
ADS