Debat umumnya suatu yang baik tetapi debat calon-calon presiden Umno boleh mendatangkan keburukan kepada parti itu kerana urusan dalaman parti tidak sepatutnya didedahkan kepada orang luar apa lagi pihak 'musuh', kata calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Annuar Musa.

"Debat secara umumnya adalah aktiviti yang baik.Ia membolehkan para peserta berkongsi pendapat atas sesuatu isu.

"Saya khuatir dengan trend populis dan percubaan mengikut rentak luaran secara berlebihan. Ingatlah, jika kita bertindak berlebihan ia boleh membawa banyak keburukan dari kebaikan kepada parti.

"Apa lagi ketika kita sedang melalui satu kejutan kehilangan kuasa dan status sebagai parti pemerintah," kata Annuar dalam suatu kenyataan media.

Urusan dalaman keluarga

Beliau menyifatkan pemilihan parti itu sebagai urusan dalaman keluarga Umno.

"Pemilihan jawatan dalam parti adalah urusan dalaman keluarga atau ahli Umno.

"Ia merupakan perkara sensitif dan tidak harus terdedah kepada orang luar, apa lagi 'musuh'," katanya.

Selain itu, anggota parlimen dan ketua Umno bahagian Ketereh itu juga mengingatkan ahli parti supaya 'tidak terikut dengan rentak paluan pihak lawan'.

"Difahamkan isu ini turut di campuri oleh pemimpin parti lain termasuk menteri daripada parti DAP yang menawarkan rakaman dan siaran oleh stesen televisyen tertentu.

"Namun suka saya menasihatkan mereka yang terlibat agar tidak terlalu ghairah sehingga terlupa gelanggang mana mereka harus bersilat dan irama paluan siapa yang harus mereka menari.

"Umno pada masa ini adalah sebuah parti pembangkang. Setakat ingatan saya tidak pernah ada sebuah parti pembangkang yang pernah mengadakan "public debate" antara calon presiden parti mereka," katanya.

Semalam calon presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat tiada keperluan untuk mengadakan debat menjelang pemilihan parti itu.

"Kita tidak berhasrat untuk mengikut sistem parti Demokrat atau Republikan, bagi adakan perdebatan antara calon-calon presiden.

"Kerana acuan politik kita adalah acuan keluarga.

“Parti kita parti terbesar orang Melayu, jadi eloklah jika ada isu-isu kita mahu raikan perbezaan kita buat di halaman rumah kita sendiri," katanya.

Cadangan debat antara calon presiden Umno diusulkan oleh salah seorang calonnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan pelawaan itu disahut seorang lagi pencabarnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.