Saifuddin sokong usia mengundi 18 tahun
Sekiranya seseorang boleh dibicarakan di mahkamah sebagai individu dewasa pada usia 18 tahun, tidak ada sebab mengapa mereka tidak boleh mengundi pada usia itu, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.
Menyokong cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, Saifuddin berkata langkah itu sesuai dengan cita-cita sebuah negara demokratik.
Malah beliau berkata pendaftaran mengundi juga perlu dipermudahkan.
"Umur 18 tahun diterima oleh undang-undang sebagai 'umur kematangan'.
"Anda layak mendapat lesen memandu, anda boleh menyertai parti politik, anda boleh memiliki tanah dan sebagainya.
"Jika dituduh melakukan jenayah, anda tidak akan lagi menghadapi mahkamah kanak-kanak tetapi akan dibicara di mahkamah biasa sebagai orang dewasa," katanya dalam kiriman teks kepada Malaysiakini.
Saifuddin sebelum ini menulis di Twitter menyokong cadangan tersebut.
"Harus galak seramainya untuk mengundi dengan semudahnya.Justeru, wajar turunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun dan ia didaftar automatik sebaik genap umur tersebut," katanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Saifuddin mengulangi keperluan mendaftarkan pengundi secara automatik, dengan berkata langkah itu akan menyelesaikan masalah dalam pendaftaran pengundi.
Mahathir semalam berkata negara-negara lain membenarkan rakyatnya mengundi pada usia 18 tahun.

