Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Orang Umno antara ejen kartel ubat farmaseutikal

Anggota Umno dan lantikan politik dalam 1MDB antara ejen tender dalam kartel ubat farmaseutikal yang memonopoli bekalan ubat-ubatan kepada kerajaan, dakwa anggota parlimen Klang Charles Santiago.

Nama-mana itu antara yang berada dalam senarai wakil rakyat DAP itu yang diserahkan untuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

“Banyak nama Umno di sini dan jika kamu dengar sebahagian nama ini, kamu akan sangat sedih kerana mereka pernah terlibat dalam kes rasuah di negara ini,” kata Santiago kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM.

Santiago enggan mendedahkan nama-nama itu kepada wartawan.

Sebelum ini, dilaporkan 20 syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli politik terkemuka, termasuk bekas menteri, mengawal rantaian bekalan ubat-ubatan dengan menjadi “ejen tender” untuk syarikat farmaseutikal antarabangsa.

Mereka dilaporkan memperoleh kontrak bernilai RM3.7 bilion dalam tempoh tiga tahun sehingga 2016.

Kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat amalan monopoli dalam negara ini.

Sementara itu, Santiago mendesak kerajaan menjelaskan tujuan sebenar ejen tender.

Katanya, monopoli itu menyekat akses awam kepada ubat-ubatan dengan harga patut.

Berbanding dengan negara lain, kata Santiago, harga ubat-ubatan di Malaysia adalah 30 hingga 148 peratus lebih tinggi, dengan mengambil kira kadar tukaran wang asing.

Santiago berkata, kerajaan BN sebelum ini sering menolak membincangkan soal ubat-ubatan mampu beli ketika dibahaskan di parlimen.

Lihat Komen
ADS