Husam perjelas kenyataan awalnya mengenai pembubaran DUN Ktan
Ahli Exco Kerajaan Kelantan, Husam Musa menafikan laporan yang memetiknya sebagai berkata bahawa PAS bersedia untuk menimbang pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN).
Ahli Exco Kerajaan Kelantan, Husam Musa menafikan laporan yang memetiknya sebagai berkata bahawa PAS bersedia untuk menimbang pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN).
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu hari ini, beliau berkata, PAS sama sekali tidak akan membubarkan DUN walaupun tewas pada pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini dan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi berbanding Barisan Nasional (BN).
"Soal bubar dewan tidak timbul langsung dan ini ada sedikit salah faham (mengenai kenyataan awalnya)," katanya.
Dua jam sebelum itu, Bernama memetik Husam (foto) sebagai berkata kerajaan Kelantan sedia menimbang cadangan pembubaran DUN dalam masa terdekat seperti diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Husam berkata, walaupun jika PAS tewas dalam pilihanraya kecil itu, parti itu masih lagi mendapat mandat daripada rakyat.
'Bubar kerusi BN'
"Kita tetap akan memberikan keutamaan dalam membangunkan Kelantan mengikut acuan Islam kerana rakyat masih memberikan kepercayaan kepada kita menerajui negeri," katanya.
Beliau berkata, BN sebenarnya angkuh mengeluarkan kenyataan akan menang dalam pilihanraya kecil itu sedangkan hakikatnya mereka gagal membangunkan 21 kerusi di DUN Kelantan yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu.
"Saya bagaimanapun bersetuju jika kesemua 21 kerusi yang dimenangi BN itu dibubar untuk lihat benarkah BN benar-benar kuat seperti yang didakwa," katanya.
Husam berkata, PAS akan mengetengahkan calon yang merupakan anak tempatan yang mampu mempertahankan kerusi itu.
"Ini kerusi kita, kita akan kekalkan gusi dan geraham PAS di Pengkalan Pasir," katanya.

