Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS memang tak 'berahi' pada Umno
Diterbitkan:  Jun 22, 2018 6:26 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

PAS tidak menganggap Umno sebuat parti yang bernilai tinggi malah tidak "ketagih" untuk bersama mereka.

Anggota Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata Umno dan BN tidak sesuai untuk dijadikan rakan kerjasama kerana mereka parti berbilang kaum.

Malah katanya Umno dan BN tidak sesuai untuk mendukung perjuangan menegakkan Islam semata-mata.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulamak menjelaskan PAS sebaliknya membawa perjuangan yang tidak berdendam atau bermusuh dengan sesiapa, selain berdakwah untuk membawa orang ramai kepada Islam.

“Mana-mana kumpulan yang tidak bermusuh dengan Islam, kalau mereka hendak bersama dengan PAS, maka mereka boleh bersama.

Tok soh beraso (tak usah rasakan) Umno ni parti yang mahal dan kita tak pernah ketagih nak bersama dengan Umno,” katanya seperti dipeti Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini seorang pemimpin kanan Umno berkata parti itu lebih wajar memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) jika mahu menjalin kerjasama berbanding PAS.

Dipetik Sinar Harian, Nazri berkata berdasarkan keadaan semasa, secara peribadi beliau tidak melihat perjuangan parti yang berteraskan Islam mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia.

"Saya bukan seorang yang Islamik. Politik berteraskan agama adalah di luar fikiran saya. Saya menentang parti seperti itu," katanya.

Untuk rekod menjelang PRU ke-14 pada 9 Mei lalu, PAS dilihat bersikap lunak kepada Umno dan keras mengkritik HARAPAN, terutama pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyarankan Dr Mahathir berundur daripada politik dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Klinik 1Malaysia.

PAS juga membayangkan parti itu akan dapat menguasai beberapa negeri termasuk Selangor.

Bagaimanapun keputusan pilihan raya menyaksikan majoriti rakyat menolak PAS dan Umno. PAS kekal di Kelantan dan menawan Terengganu, namun gagal besar di Selangor.

Malah ada beberapa calon mereka hilang wang deposit dalam PRU tersebut apabila undi yang diperolehi gagal mencecah 12.5 peratus daripada keseluruhan pemilih.

Lihat Komen
ADS