Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan dua suspek kes pecah masuk rumah Jamal

Polis menahan dua lelaki berikutan kejadian pecah masuk rumah Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Ampang Jaya.

Dalam satu kenyataan petang ini, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Hamzah Alias berkata suspek pertama berusia 29 ditahan di Paroi, Negeri Sembilan pada Rabu lalu.

Suspek kedua, 25, ditahan di Ampang Jaya semalam.

Hamzah berkata kedua-dua suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ditahan reman selama seminggu dari tarikh penahanan mereka.

Jamal sendiri kini berada dalam senarai dikehendaki polis selepas melarikan diri daripada pihak berkuasa sejak bulan lalu.

Kejadian pecah masuk rumah pemimpin kumpulan Baju Merah itu dilaporkan berlaku pada 17 Jun lalu oleh empat lelaki yang didakwa menyamar sebagai pengawal peribadinya.

Menurut polis pengawal keselamatan yang bertugas menjaga kediaman terbabit teragak-agak untuk menahan mereka atas alasan suspek mendakwa bekerja dengan Jamal.

Kedatangan ke rumah itu kononnnya bertujuan untuk mengambil barangan peribadi ahli politik yang terkenal dengan pelbagai aksi pegunnya itu.

Menurut BH Online antara barangan yang dibawa keluar dari rumah tersebut ialah 20 beg tangan dan 20 cermin mata pelbagai jenama, selain dua dekoder kamera litar tertutup.

Setakat ini lokasi Jamal masih belum diketahui dan sedang diburu polis.

Walaupun menjadi buruan polis Jamal tetap menjadi seorang daripada calon yang menawarkan diri untuk jawatan ketua Pemuda Umno.

Jamal, 48, sedang disiasat mengikut Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960, selain sudah didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Lihat Komen
ADS