Berita Malaysiakini

Lim: Perancis akan teliti skandal Scorpene

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pihak berkuasa Perancis telah memaklumkan kepada Putrajaya bahawa sistem kehakimannya sedang meneliti skandal rasuah melibatkan pemerolehan kapal selam Malaysia pada tahun 2002.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, maklumat itu disampaikan oleh Duta Perancis Frédéric Laplanche ketika pertemuan kedua-dua pihak hari ini.

"Beliau juga mendedahkan berita bahawa pihak kehakiman Perancis sedang menyusuli skandal rasuah dalam kes kapal selam Scorpene yang bernilai 1 billion euro.

"Tetapi ini tidak melibatkan kes pembunuhan Altantuya kerana ia di luar bidang kuasa Perancis," kata Lim di halaman Facebook Kemnetrian Kewangan.

Lim berkata duta besar itu juga telah mmeberikan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Malaysia mempromosikan ketelusan dan pendedahan skandal kewangan negara.

Di samping itu, beliau berkata perbincangan hari ini juga melibatkan kepentingan bersama antara kedua-dua negara.

Pada tahun 2002, Malaysia memperoleh dua kapal selam kelas Scorpène dari syarikat pertahanan Perancis. Pada masa itu, menteri pertahanan Malaysia ialah Datuk Seri Najib Razak.

Berikutan itu, pendakwa Perancis melancarkan siasatan terhadap tuduhan bahawa rakyatnya telah menerima sogokan dari perjanjian itu.

Setakat ini, siasatan diarahkan kepada bekas pengerusi DCNI tentera laut Perancis dan bekas ketua eksekutif pertahanan dan syarikat elektronik besar di Perancis, Jean-Paul Perrier.

Seorang lagi yang disasarkan penyiasat Perancis ialah Abdul Razak Baginda, warga negara Malaysia yang dipercayai pernah menjadi rakan sekutu Najib, yang mengakui dibayar €30 juta untuk mendapatkan nasihat mengenai perjanjian kapal selam Scorpene.

Penyiasat Perancis juga menemui dakwaan bahawa €114 juta telah dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dilaporkan dikawal oleh isteri Abdul Razak.