Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendaftaran pengundi secara automatik lebih baik - MBFM
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 5:40 AM
Dikemaskini: 10:22 PM

Kerajaan disaran melaksanakan pendaftaran mengundi secara automatik terhadap setiap remaja yang menginjak usia 21 tahun, berbanding melaksanakan cadangan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzil Hasan berkata adalah lebih baik kerajaan melaksanakan pendekatan itu bagi memastikan belia yang mencapai umur itu secara automatik tersenarai dalam daftar pemilih dan boleh mengundi.

“Jika kita turunkan had umur sekalipun, tetapi individu itu gagal mendaftar, mereka tetap tidak berpeluang untuk mengundi. Maka sepatutnya cukup umur, secara automatik nama sudah tersenarai sebagai pengundi.

Daripada segi pelaksanaannya, kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), perlu bekerjasama untuk memperkenalkan mekanisme atau sistem yang sesuai untuk merealisasikan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Muhammad Fadzil berkata pendekatan itu mampu mengurangkan peratusan golongan muda yang layak tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi.

Katanya pendekatan itu sudah lama disarankan oleh ramai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, namun tidak mendapat perhatian kerana sistem pendaftaran pengundi sedia ada dianggap masih efisien.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam temu bual eksklusif bersama Malay Mail baru-baru ini dilaporkan berkata pentadbirannya mungkin akan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun susulan 'gelombang’ belia dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang menyaksikan pertukaran kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14, parti itu berhasrat mengubah had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS