Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan mahkamah persekutuan tidak jejas keupayaan Petronas teruskan tindakan undang-undang
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 5:41 AM
Dikemaskini: 10:32 PM

Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi kebenaran untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan negeri Sarawak, tidak menjejaskan sama sekali keupayaan syarikat minyak nasional itu untuk meneruskan tindakan undang-undang, dengan niat untuk mendapatkan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Petronas dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah itu adalah semata-mata berdasarkan alasan teknikal dan ia memutuskan bahawa perkara itu terletak di luar bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan tidak dengan apa-apa cara menentukan atau mengesahkan merit kedudukan undang-undang yangh diambil oleh kerajaan Sarawak untuk mengawal selia aktiviti huluan petroleum di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

“Mahkamah Persekutuan juga menarik perhatian kepada konsesi oleh kerajaan Sarawak bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 telah digubal secara sah,” kata kenyataan itu.

Oleh itu, ini mengukuhkan pandangan Petronas bahawa hanya Parlimen boleh menggubal undang-undang mengenai perkara-perkara berkaitan industri huluan petroleum termasuk kuasa kawalseliaan di seluruh Malaysia, baik di darat mahupun di luar pesisir mengikut PDA 1974.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas itu selepas memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana relif perisytiharan yang dimohon syarikat minyak nasional tidak termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan tetapi di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS