Pelaksanaan projek besar di KL dirujuk Kepada PM
Pelaksanaan semua projek pembangunan penting di Kuala Lumpur pada masa depan akan dirujuk terlebih dahulu kepada Perdana Menteri dan Kabinet bagi mendapatkan nasihat dan kelulusan, kata pemangku Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Pelaksanaan semua projek pembangunan penting di Kuala Lumpur pada masa depan akan dirujuk terlebih dahulu kepada Perdana Menteri dan Kabinet bagi mendapatkan nasihat dan kelulusan, kata pemangku Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata perkara itu telah dipersetujui dalam perjumpaannya dengan para pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Bagaimanapun, pada perjumpaan tersebut, tiada perbincangan mengenai sebarang projek pembangunan baru di bandaraya ini dibangkitkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat yang julung kali diadakan untuknya oleh DBKL tentang pengurusan dan pembangunan bandar raya berkenaan.
Shahrizat dilantik memangku jawatan itu bulan lalu setelah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melepaskan semua jawatannya dalam politik dan kerajaan selepas disabitkan kesalahan oleh Jawatankuasa Disiplin Umno kerana terlibat dengan politik wang.
Menurut laporan Bernama , Shahrizat berkata, pada pertemuan itu beliau menggesa DBKL meningkatkan kualiti perkhidmatannya kepada orang ramai dan meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ruslin Hassan memastikan para pegawai DBKL menjalankan tugas mereka dengan penuh komitmen, berintegriti, bertanggungjawab, telus dan mesra.
Lesen pasar Ramadan
Shahrizat berkata, beliau ingin melihat wujudnya peluang yang sama rata bagi semua orang.
Mengenai pengeluaran lesen bagi gerai Pasar Ramadan baru-baru ini, Shahrizat berkata: "Kami perlu bersifat telus, terutama apabila terdapat 5,000 pemohon bagi 500 lesen, kami tidak mahu 4,500 orang pulang dengan hampa kerana tidak mendapat lesen."
Pengeluaran lesen sementara itu mencetuskan kontroversi apabila ada pihak menjualnya dengan harga tinggi kepada pihak lain.
Mengenai buku bertajuk "Skandal Seks dan Rasuah Ruslin", Shahrizat berkata pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada proses undang-undang dan tidak akan campurtangan dalam siasatan polis mengenainya.
Polis sedang menjalankan siasatan mengenai buku setebal 164 muka surat itu yang ditulis oleh Mohd Rafie Awang Kecik yang menggunakan nama samaran Amir Fitri Hakimi.

