Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno perlu beri laluan golongan muda pimpin parti'

Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin umum tidak bertanding bagi mempertahankan jawatannya pada pemilihan Umno 30 Jun ini.

Ketua Umno bahagian Lembah Pantai itu berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada muka baru untuk menerajui parti berkenaan di Lembah Pantai.

"Sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi saya sudah menyuarakan hasrat jika kalah, saya hanya mahu menjadi ahli biasa dan tidak lagi memegang sebarang jawatan.

"Saya sudah berbincang dengan keluarga dan rakan di bahagian (Lembah Pantai).

"Ini adalah keputusan yang perlu dilakukan demi perubahan yang diperlukan Umno,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Lembah Pantai hari ini.

Perubahan di semua peringkat

Selain itu, ketika berucap Raja Nong Chik turut memberitahu bahawa Umno perlu lakukan perubahan di semua peringkat dengan memberi laluan kepada golongan muda memimpin parti.

"Kita harus memperbetulkan semula persepsi rakyat terutama golongan muda terhadap Umno dan kita perlu menerima hakikat bahawa parti ini dan BN tidak lagi seperti dulu.

"Jangan ada dalam kalangan kita yang sombong dan berlagak kerana itu yang berlaku ketika kita berkuasa dahulu.

"Rakyat akan jemu dan menjauhkan diri daripada kita," ujarnya lagi.

Keputusan petang ini

Difahamkan jawatan ketua bahagian Umno Lembah Pantai akan disandang oleh timbalan ketua bahagiannya, Datuk Ramlan Askolani.

Sementara itu, bagi jawatan ketua pemuda serta puteri Umno bahagian Lembah Pantai calonnya menang tanpa bertanding.

Ia sekaligus menjadikan Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Dr Masliha Harun sebagai ketua pemuda dan puteri Umno bahagian Lembah Pantai yang baru.

Bagi jawatan Ketua Wanita bahagian pula, penyandangnya, Datin Azizan Shariff akan berdepan dengan pencabarnya, Saleha Abdullah.

Keputusan pemilihan peringkat bahagian bagi ketiga-tiga sayap Umno dijangka akan diketahui pada petang ini.

Lihat Komen
ADS