Paling Popular
Terkini

Golongan peniaga dan penjaja makanan kini mempunyai pilihan menggunakan bekas pembungkusan mesra alam dalam aktiviti perniagaan harian mereka melalui produk inovatif 'Green-Blue' (GB) pada kadar hanya 35 sen seunit.

Bekas makanan kertas yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaik pulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar itu diinovasikan sekumpulan penyelidik Sirim Berhad (Sirim) pada 2017.

Pengurus Besar Jabatan Teknikal dan Operasi Sirim, Noor Hayati Mokhtar berkata walaupun produk GB telah hampir setahun dicipta namun pembungkusan mesra alam dilihat masih belum berkembang.

“Sebenarnya, harga seunit bekas makanan GB sama dengan harga seunit bekas plastik yang sering digunakan peniaga dan penjaja makanan sekarang ini, namun adakah mereka dan pengguna sedar yang bekas plastik itu sebenarnya tidak boleh dibiodegradasi?

“Disebabkan peniaga kata kos tinggi, kami amat menyarankan mereka membuat pembelian bekas makanan GB menerusi persatuan pengendali makanan bagi mendapatkan harga 35 sen seunit kerana kebiasaannya persatuan membuat pesanan lebih 100,000 unit dan itu boleh merendahkan kos,” katanya kepada Bernama.

Pelihara alam sekitar

Beliau berkata, tinjauan jabatan itu mendapati rata-rata peniaga menyedari kepentingan menggunakan bekas mesra alam untuk membungkus makanan dan disebabkan itu pihak Sirim menjana inovasi tersebut bagi membolehkan semua pihak menggembleng usaha memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Noor Hayati berkata lapan jenis bekas GB direka Sirim dalam pelbagai saiz termasuk mempunyai hingga tiga ‘compartment’ bagi mengasingkan makanan, dan kesemua produk itu dijamin tidak tiris bendalir serta mesra ketuhar gelombang mikro.

Malah, katanya, bekas makanan GB juga telah melalui pelbagai ujian bagi menguji ketahanannya selain tidak memudaratkan kesihatan sehingga mendapat pengiktirafan ‘Good Design 2017’ daripada Majlis Reka Bentuk Malaysia.

Tambah Noor Hayati, sejak Julai 2017, pihaknya telah menghasilkan 2.5 juta keping bekas makanan GB untuk diedar secara percuma kepada para peniaga di beberapa lokasi tertentu serta beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempromosi usaha menjaga alam sekitar.

“Pada Ramadan lepas juga, Majlis Bandaraya Shah Alam mengedarkan produk GB kepada peniaga bazar Ramadan Seksyen 17 secara percuma dan langkah PBT ini harus dipuji kerana mereka membeli sendiri bekas makanan itu untuk edaran dan ini bukti usaha komited mereka dalam memelihara alam sekitar,” katanya.

Beliau turut menyarankan lebih banyak peniaga dan penjaja segera bertukar kepada produk pembungkusan biodegredasi itu untuk memelihara alam sekitar kerana bekas makanan GB boleh terurai hanya dalam tempoh tiga ke enam bulan berbanding bekas makanan plastik yang mengambil masa bertahun-tahun sehingga boleh memudaratkan bumi.

Lihat Komen
ADS