Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nizam tunggu tarikh angkat sumpah ADUN Sabah
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 12:40 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan telah membuat permohonan tarikh baharu kepada Speaker DUN untuk majlis angkat sumpah sebagai ADUN Sabah.

Pada 12 Jun lepas, seramai 19 daripada 21 ADUN pembangkang Sabah mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Datuk Syed Abas Syed Ali, bagaimanapun dua lagi ADUN iaitu Nizam (Apas) serta Tan Sri Musa Aman (Sibuga) tidak menghadiri majlis tersebut.

Menjawab perkara itu, Nizam berkata ketika majlis itu berlangsung beliau berada di luar Sabah kerana menunaikan ibadah umrah.

"Saya sudah membuat permohonan dan kita serah kepada Speaker DUN untuk menentukan tarikh sesuai bagi saya mengangkat sumpah," katanya ketika ditemui hari ini.

Sebelum ini, bekas Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Johny Mositun berkata berdasarkan Artikel 22 (2) Perlembagaan Negeri Sabah, kerusi yang dimenangi seseorang wakil rakyat boleh diisytiharkan kosong oleh speaker jika wakil rakyat itu gagal mengangkat sumpah sebagai ADUN dalam tempoh tiga bulan selepas persidangan pertama DUN Sabah dilaksanakan.

Sementara itu, Nizam berkata beliau akan menerajui Umno bahagian Tawau selepas menang tanpa bertanding sebagai ketua parti pada pemilihan bahagian berkenaan.

Beliau berharap semua perwakilan Umno yang diberikan amanah untuk memilih kepimpinan pada peringkat nasional agar bijak memilih pemimpin berdasarkan kriteria yang disukai rakyat.

"Politik hari ini, orang boleh menjatuhkan pemimpin menggunakan persepsi tetapi kita boleh menangkis perkara itu dengan melaksanakan kerja yang baik dan ikhlas dalam membantu rakyat," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS