Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TLDM tawar program MBA kepada pegawai
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 1:08 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini menyediakan peluang bagi pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) secara sambilan kepada pegawai TLDM menerusi program khas dengan kerjasama beberapa universiti tempatan.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata program pengajian itu bertujuan menyediakan peluang kepada pegawai TLDM meningkatkan pengetahuan dan tahap pencapaian akademik untuk dimanfaatkan semasa berkhidmat atau setelah besara.

"Ia juga ke arah menghasilkan pemimpin yang berfikiran strategik dan inovatif," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program MBA itu memakan masa 18 bulan dengan kos pengajian yang menarik bagi penuntut.

“Saya amat yakin pegawai TLDM yang menyertai pengajian MBA ini mampu meningkatkan ilmu pengetahuan dan keyakinan diri mereka dalam menghasilkan prestasi dan kualiti kerja yang tinggi," katanya.

TLDM menerima tawaran penyediaan pakej pengajian itu daripada beberapa universiti awam dan swasta, dan kini dalam peringkat akhir memilih pakej terbaik untuk ditawarkan kepada pegawai TLDM yang berminat di empat lokasi utama iaitu Kuala Lumpur, Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu.

Program pengajian itu satu inisiatif TLDM yang dikenali sebagai 'KEEL' (Knowledge Empowerment through Enhancement Learning), selaras dengan maksud perkataan itu iaitu tulang belakang kapal – menandakan bahagian penting kepada sesuatu struktur atau organisasi.

“Saya amat terharu apabila program yang ditawarkan ini mendapat sambutan positif pegawai-pegawai muda TLDM. Sebaik sahaja program MBA ini dibuka, lebih 100 pegawai telah mendaftar untuk program berkenaan dan ia di luar jangkaan kami,” kata Ahmad Kamarulzaman.

Panglima Tentera Laut itu turut menyatakan bahawa program pengajian MBA itu merupakan inisiatif TLDM untuk meningkatkan kualiti modal insan demi mendukung pelan transformasinya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS