Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
J/kuasa khas akan ditubuh kendali kelulusan hartanah di Sabah
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 2:58 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Satu jawatankuasa khas akan ditubuh bagi mengendalikan proses kelulusan pembangunan hartanah di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata langkah itu bagi mempercepatkan proses kelulusan bagi membolehkan pembangunan sektor berjalan lancar, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada negeri.

“Kelulusan hartanah tidak lagi akan dibuat di peringkat pusat iaitu menerusi ketua menteri.

“Langkah ini bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan dan sektor hartanah di Sabah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidlifitri Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman di Sepanggar hari ini.

Mohd Shafie berkata butiran lanjut mengenai penubuhan jawatankuasa itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau meminta pemaju kawasan komersil seperti pusat membeli-belah supaya menawarkan kadar sewa kedai yang berpatutan bagi membolehkan lebih ramai peniaga membuka kedai di kawasan berkenaan.

“Beri ruang untuk peniaga. Kalau sewa diturunkan, langkah itu akan menyumbang kepada peningkatan kedatangan ramai pelanggan ke pusat-pusat membeli-belah kerana kuota kedai dipenuhi,” katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS