Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak mudah cari tukang masak tempatan serta merta'
Diterbitkan:  Jun 24, 2018 9:52 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Cadangan melaksanakan peraturan hanya warga tempatan dibenar menjadi tukang masak di restoran bermula tahun hadapan perlu dikaji dengan lebih teliti.

Peraturan itu walau dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing dan menjaga kualiti makanan, namun tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengusaha industri itu berpendapat ia tidak wajar dilaksanakan secara mendadak.

Ketua Eksekutif Kumpulan Restoran Kayu Nasi Kandar Sirajudin Mohamed Mydin berkata pelaksanaan peraturan itu perlu mengambil kira masalah yang akan dihadapi pengusaha restoran tempatan, khususnya untuk mencari pengganti tukang masak dalam masa singkat.

"Ia tidak mudah bagi kami (pengusaha makanan) untuk mencari tukang masak yang bagus dalam masa yang singkat.

"Bagaimanapun kami boleh melatih pekerja baharu (tempatan) tetapi ia mengambil masa untuk mendapatkan kemahiran memasak itu,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur semalam.

Menteri Sumber Manusia M. KulaSegaran pada Jumaat (22 Jun) dilapor menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan di restoran masing-masing dan peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2019.

Kenyataan itu menyebabkan pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau dalam media sosial, sebelum beliau semalam dilapor menjelaskan bahawa arahan itu masih pada peringkat cadangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan pihak berkepentingan sebelum arahan lanjut dilaksanakan.

Seorang pengusaha restoran tempatan, Jemain Sakat, 54, berpendapat cadangan itu adalah wajar, namun tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana faktor kekangan tenaga fizikal daripada warga tempatan sendiri.

"Orang kita (tempatan) tidak mahu bekerja lebih masa dan kekuatan fizikal tidak sama dengan pekerjaasing selain faktor gaji dan kebanyakan mereka lebih memilih hotel sebagai destinasi kerjaya," katanya yang telah mengusahakan perniagaan makanan selama 10 tahun.

Peniaga restoran dan tukang masak, Mohamad Zulkifli Abdul Ghani, 28, bersetuju cadangan polisi itu dilaksanakan sekiranya kemahiran memasak serta komitmen warga tempatan setaraf dengan warga asing.

“Sukar nak jumpa mereka (warga tempatan) yang sanggup bekerja lebih daripada lapan jam,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS