Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf menang ketua pemuda Umno
Diterbitkan:  Jun 24, 2018 11:02 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dijangka memenangi jawatan ketua Pemuda Umno selepas mendapat tentangan sengit daripada tiga calon lain.

Keputusan tidak rasmi pada 4.30 pagi menunjukkan Asyraf berada di hadapan dengan memperoleh 73 undi daripada 191 bahagian.

Senator Khairul Azwan Harun yang lebih dikenali sebagai 'Azwanbro',  berada di kedudukan kedua dengan memperoleh 58 undi.

Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah pula berada di tempat ketiga dengan sokongan 56 bahagian Umno, manakala pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendapat undi dari dua bahagian.

Tidak jelas Asyraf berada dalam kem yang mana dalam Umno.

Beliau tidak berada dalam hierarki Pemuda Umno dan sebelum ini merupakan ahli majlis tertinggi.

Asyraf tidak menunjukkan kecenderungan berpihak dalam persaingan antara Khairy, veteran parti itu Tengku Razaleigh Hamzah, dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam merebut jawatan presiden.

Malam tadi, kem Tengku Razaleigh menerima pukulan selepas penyokong utamanya, Bastien Onn tewas kepada Shahril Hamdan, yang berpihak kepada Khairy.

Keputusan tidak rasmi pada jam 1 pagi menujukkan Shahril jauh mendahului dengan undi daripada 113 bahagian, manakala Bastien mendapat 20 undi.

Keputusan rasmi bagi pemilihan Pemuda, Wanita dan Puteri akan diumumkan pada pukul 5 petang ini.

Pemilihan untuk jawatan presiden Umno dan jawatan-jawatan tertinggi lain akan diadakan pada 30 Jun.

Lihat Komen
ADS