Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Naib ketua pemuda Umno tak mahu lagi program 'syok sendiri'

Shahril Hamdan yang diiytihar secara tidak rasmi memenangi jawatan naib ketua pemuda Umno, berikrar menghentikan program 'syok diri' dalam usaha memulihkan sokongan belia kepada parti itu.

"Matlamat paling utama saya adalah untuk menarik sokongan golongan muda kepada Umno - tidak ada lagi program syok sendiri, melahirkan lebih ramai pemuda yang berhujah secara ilmiah dan berfakta dan menjadi pembangkang yang progresif yang boleh memberi semak dan imbang kepada dasar Kerajaan," kata Shahril kepada Malaysiakini.

Pemuda berusia 32 tahun itu juga mengucapkan tahniah kepada Asyraf Wajdi Dusuki atas kemenangannya sebagai ketua pemuda, dan berjanji akan bekerjasama demi kepentingan parti.

Keputusan tidak rasmi pada jam 1 pagi menunjukkan Shahril jauh mendahului bagi jawatan naib ketua pemuda, dengan 113 bahagian menyokongnya, berbanding 20 menyokong pencabar terdekatnya Bastien Onn.

Manakala bagi jawatan ketua pemuda, keputusan tidak rasmi pada 4.30 pagi menunjukkan Asyraf sebagai pemenang dengan mendapat sokongan 73 bahagian.

Asyraf menghadapi persaingan sengit apabila dicabar senator Khairul Azwan Harun dan Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah - masing-masing mendapat 58 dan 56 undi bahagian.

Asyraf dan Shahril dijangka mengadakan sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 4 petang ini.

Keputusan rasmi untuk semua pertandingan sayap Umno dijangka diumumkan pada pukul 5 petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS