Berita Malaysiakini

Gerakan digesa lepaskan jawatan senator dan lantikan BN

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menggesa Gerakan melepaskan jawatan lantikan politik selepas parti itu mengambil keputusan keluar dari BN. 

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata Gerakan wajar melepaskan dua jawatan senator dan lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta jawatan lantikan politik yang lain sama ada di peringkat pusat dan negeri.

"Mereka dilantik oleh BN, dan kini mereka keluar BN. Mereka juga harus melakukan perkara yang terhormat dengan meletakkan jawatan dari BN, dan keluar sepenuhnya dari perkongsian sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Lim turut memuji keputusan Gerakan keluar daripada BN walaupun disifatkan terlambat selepas gabungan itu tewas pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

"Walaupun terlambat untuk Gerakan akhirnya membuat keputusan selepas PRU lalu, ia lebih baik daripada menjalinkan hubungan dengan gabungan politik yang korup," katanya.

Beliau berkata keputusan itu juga dianggap bijak berbanding MCA dan MIC yang kini masih bersama BN.