Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah hari ini memaklumkan bahawa keputusan pemilihan ketua Wanita Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu adalah sah dan telah mengikut prosedur ditetapkan.
Setiausahanya Datuk Md Rozai Safian berkata sehubungan itu, kemenangan Nazira Abd Rahim adalah sah dan telah dipilih sebagai Ketua Wanita Umno Bahagian berkenaan berdasarkan keputusan pemilihan yang telah berlangsung semalam.
"Nazira adalah penyandang jawatan tersebut dan telah dicabar oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu Datuk Noorsabrina Mohd Noor. Dalam pemilihan berkenaan Nazira mendapat 140 undi manakala Noorsabrina mendapat 133 undi dengan 13 undi rosak.
"Keputusan tersebut telah menerima bantahan kerana jumlah undi adalah sebanyak 286 orang sedangkan perwakilan yang diumumkan adalah sebanyak 277 orang dan berhubung bantahan berkenaan kita akan bawa ke Umno pusat," katanya dalam kenyataan hari ini.
- Bernama
