Terkini, Umno tidak dapat mengesahkan keputusan pertandingan jawatan Ketua Pemuda Umno walaupun sebelum ini mengumumkan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pemenang.
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Twitter Pemilihan Umno 2018, yang diuruskan oleh biro penerangan Umno.
"Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia tidak boleh mengadakan sidang akhbar kerana keputusan pemilihan dari 25 bahagian masih tidak boleh disahkan.
"Pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia masih belum selesai. Keputusan dari 25 bahagian masih tidak boleh disahkan," kata hantaran itu.
[Penerangan]
— Pemilihan UMNO 2018 (@PemilihanUMNO18) June 24, 2018
Keputusan undi daripada 25 bahagian tidak boleh disahkan kerana aduan telah dibuat oleh anggota-anggota bahagian tersebut. Penerangan lanjut akan diberi di dalam satu sidang akhbar tidak lama lagi.#PemilihanUMNO2018
Asyraf telah bersedia untuk mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan kemenangannya pada jam 5 petang hari ini tetapi menangguhkannya sehingga jam 7 malam tadi.
Sidang akhbar kini telah ditangguhkan sehingga diberitahu kelak dan mungkin tidak berlaku malam ini kerana Malaysiakini difahamkan Asyraf perlu hadir majlis lain.
Terdahulu, saingan terdekatnya, Khairul Azwan Harun mengaku kalah selepas biro penerangan Umno mengumumkan Asyraf sebagai pemenang pada tengah hari tadi.
"Secara rasminya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang baru buat penggal 2018-2021," kata biro penerangan Umno.
[KEPUTUSAN RASMI]
— Pemilihan UMNO 2018 (@PemilihanUMNO18) June 24, 2018
Secara rasminya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki @drasyrafwajdi adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baru buat penggal 2018-2021.
Tahniah diucapkan kepada DAWD atas kemenangan beliau dan selamat menjalankan tugas yang baru.#PemilihanUMNO2018 pic.twitter.com/2Gd0Bh454Y
Sebelum pengumuman tersebut, biro penerangan Umno meletakkan Asyraf mendahului Khairul dengan 65 undi dalam saingan sengit dengan lawannya yang mendapat 62 undi.
Anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah mendapat tempat ketiga dengan 51 undi dan Ketua Umno Sungai Besar (yang dikehendaki polis), Datuk Seri Jamal Md Yunos memperolehi dua undi.
Keputusan itu berdasarkan penjumlahan undi 180 bahagian daripada 191 bahagian.
Mengikut sistem pemilihan Umno, jika majoriti perwakilan sesuatu bahagian mengundi calon tertentu, maka calon tersebut akan dianggap memenangi bahagian tersebut dan akan mendapat satu undi.
Tidak jelas jika keputusan akhir akan berubah selepas pertikaian berkenaan ditangani.
