Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari Umno ke DAP, kemenangan tebus kekalahan bapa

Apabila Timbalan Pengerusi DAP Melaka Norhizam Hassan Baktee memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, beliau mencipta kejayaan yang gagal dilakukan bapanya pada sekitar tahun 1980-an.

Bapanya, Hassan Baktee Mohd merupakan ahli DAP yang bertanding dua kali di kerusi yang sama - sebelum ini dikenali sebagai Peringgit - semasa sentimen Melayu yang menentang parti itu sangat tinggi.

"Saya sangat bangga apabila saya memenangi Pengkalan Batu di bawah bendera DAP.

"Saya berasa sangat tersentuh oleh penerimaan masyarakat setempat, kerana komposisi kerusi itu adalah majoriti Melayu.

"Sebelum ini kerusi itu dijangka menjadi pertandingan yang sukar," kata Norhizam kepada Malaysiakini dalam temu bual di pejabat barunya di Seri Negeri, pusat pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Selepas kemenangannya, Norhizam dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri.

Walaupun Norhizam dibesarkan oleh bapanya di bawah pengaruh DAP, jalannya dalam politik tidak begitu jelas.

Beliau yang kini berumur 52 tahun pernah menjadi ahli Umno di cawangan Pantai Peringgit, malah pernah dilantik sebagai ketua timbalan ketua pemuda pada satu ketika.

Bagaimanapun, Norhizam meninggalkan Umno pada tahun 2006 bagi mengikut jejak langkah ayahnya dan menyertai DAP.

"Saya menyertai Umno kerana saya seorang ahli perniagaan, jadi mereka (Umno) mengambil kesempatan dan memberikan saya jawatan.

"Selepas itu, mereka minta saya melakukan pelbagai kerja 'amal'. Jadi apabila ada acara, saya diharap dapat menyumbang kepada Umno," katanya.

'DAP berjuang untuk semua orang'

Norhizam berkata, salah satu sebab beliau meninggalkan Umno dan menyertai DAP adalah apabila melihat pemimpin parti Melayu itu "tidak lagi boleh dipercayai" dan "tidak telus".

"Bila saya membuat keputusan itu, ayah saya sangat gembira.

"Beliau menasihatkan saya, kalau nak main politik, buat bersungguh-sungguh, jangan main-main. Jadi, DAP adalah parti yang baik untuk disertai kerana ia berjuang untuk semua orang, tanpa mengira kaum," katanya.

Sebagai seorang bekas ahli perniagaan, Norhizam berkata beliau kini diberi tanggungjawab memegang portfolio pertanian yang merupakan satu pengalaman baru untuknya.

Beliau juga menegaskan salah satu agenda utama yang akan dilakukannya adalah mengkaji semula projek dan program pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.

"Kita akan kaji semula program-program berkenaan. Yang mana kita dapati bagus, kita akan teruskan atau perbaiki. Tetapi ada juga yang bermasalah, yang telah gagal," katanya.

Norhizam berkata beliau juga berhasrat menaik taraf infrastruktur pertanian negeri itu ke arah teknologi yang lebih inovatif.

Lihat Komen
ADS