Azalina bidas Gobind lepas gesa menteri Umno letak jawatan
Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said membidas Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo susulan gesaan supaya menteri Umno meletakkan jawatan jika sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Azalina turut mengemukakan empat cadangan kepada DAP, termasuk supaya parti itu bertenang susulan rasa tidak puas hati berhubung perkembangan terbaru mengenai pengampunan bersyarat terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.
“Memberikan kata dua secara terbuka kepada presiden parti gabungan bukan tindakan yang membina dan tidak selari dengan semangat perjanjian gabungan.
“Jika terdapat perbezaan pendapat, jalan yang sepatutnya diambil ialah melalui dialog dan perbincangan, bukannya memberi tekanan secara terbuka atau mendesak seseorang meletakkan jawatan,” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas Gobind menyifatkan cadangan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi supaya Anwar membubarkan Parlimen dan bukannya merombak Kabinet sebagai tidak menghormati Perdana Menteri.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan bantahan partinya terhadap pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Dalam kenyataannya hari ini, Azalina menyifatkan peletakan jawatan Loke sebagai keputusan sepihak DAP tanpa perbincangan terlebih dahulu. Katanya, tindakan itu menjejaskan kestabilan politik dalam kalangan parti kerajaan perpaduan.
/file/attachments/orphans/4563345345453_508166.jpg)
Dia turut menyifatkan kenyataan Gobind sebagai mendukacitakan kerana tidak membantu mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan yang dibentuk susulan titah diraja selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, Umno hanya melaksanakan komitmen dalam perjanjian gabungan yang menjadi asas kerjasama politik kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun, perjanjian itu tidak bermakna setiap parti perlu bersetuju sepenuhnya dengan semua pendirian atau kenyataan politik perdana menteri dan pemimpin parti lain.
Empat cadangan kepada DAP
Azalina berkata perjanjian gabungan itu tidak mempunyai klausa penamatan kerana ia sepatutnya berkuat kuasa sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Justeru, katanya, pembubaran Parlimen menjadi pilihan sekiranya perjanjian itu mahu ditamatkan.
Antara cadangan Umno kepada DAP ialah menamatkan perjanjian berkenaan atau menggunakan mekanisme pengantaraan melalui majlis perundingan seperti diperuntukkan dalam Fasal 5(c).
“Agak menghairankan mengapa klausa pengantaraan ini tidak digunakan lebih awal, sedangkan isu pengampunan (Najib) sudah diketahui umum sejak Januari 2024,” katanya.
/file/attachments/orphans/324342342344_964480.png)
DAP juga dicadangkan supaya bertenang dan membiarkan aturan sedia ada diteruskan.
Azalina berkata DAP pernah mendapat manfaat daripada kuasa pengampunan diraja pada 2018 yang membabitkan Anwar, selain titah diraja pada 2022 yang membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan.
Cadangan terakhir Umno kepada DAP ialah supaya parti itu meminta Perenggan C dalam perjanjian berkenaan dikaji semula.
Perenggan berkenaan menyatakan komitmen semua pihak untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.
Azalina mengingatkan bahawa usaha DAP mengkaji semula perenggan itu boleh membawa kesan tidak dijangka terhadap kelangsungan kerajaan perpaduan.
“Umno akan terus menunaikan komitmen kami, menghormati kepimpinan perdana menteri dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Pendirian kami sudah jelas. Kini terpulang kepada anda untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/azalina13s_894436.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.