Persoalan mengenai siapa bakal menyandang jawatan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dijangka akan terjawab pada 4 Julai ini, kata Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah, Zamri Yusuf.
Katanya, keputusan melantik Speaker dan timbalannya itu akan berlangsung pada hari pertama sidang DUN bermula.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti itu turut berkata pemilihan dua jawatan itu dibuat melalui rundingan dengan semua 36 ADUN, termasuk 18 wakil kerajaan.
“Sebenarnya tiada isu besar mengenai pelantikan Speaker DUN, namun penentuan siapa yang memegang jawatan itu akan diketahui 4 Julai nanti,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Zamri berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bahawa parti Islam itu sudah menghantar cadangan bagi jawatan speaker dan timbalan speaker iaitu Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi dan timbalan, ADUN Bukit Pinang Wan Romanini Wan Salim.
Mengulas lanjut, Zamri berkata PAS mempunyai hak mencadangkan sebarang nama, namun berdasarkan kedudukan kerusi, mustahil Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menyokong calon dari parti Islam itu.
“Kita sudah mengemukakan nama bagi calon Speaker dan Timbalan kepada Dewan DUN. Dengan majoriti mudah 18 kerusi dalam DUN (yang dimenangi HARAPAN), saya jangka tiada masalah untuk proses pelantikan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Difahamkan HARAPAN sudah menghantar cadangan nama bagi dua jawatan terbabit iaitu bekas Anggota Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim bagi speaker dan ADUN Ayer Hangat Juhari Bulat (timbalan).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), HARAPAN memenangi 18 kerusi DUN daripada 36 kerusi, manakala PAS dan BN masing-masing memiliki 15 dan 3 kerusi.
