Bekas Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abdul Razak dan bekas pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah (CBT) dan subahat melibatkan perjanjian penerbitan buku melibatkan kira-kira RM15 juta.

Ini selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa representasi yang dihantar pihak pembelaan ke Jabatan Peguam Negara pada 1 Jun lalu telah diterima.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan kepada Hakim Madihah Harullah bahawa pendakwaan telah menerima surat perwakilan berkenaan.

Sehubungan itu, Madihah mengarahkan kedua-dua mereka dibebaskan dan dilepaskan.

Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama bagi kes tersebut.

Pada 7 September 2016, Mustafha, 50, didakwa melakukan pecah amanah terhadap Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 pada 11 Mac 2016 di Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Travers di Kuala Lumpur.

Pengerusi bank tersebut, Abdul Aziz, 67, yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-16 didakwa bersubahat dengan Mustafha untuk melakukan perbuatan tersebut pada tarikh dan tempat sama.

Mustafha didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda.

Manakala Abdul Aziz pula berdepan tuduhan di bawah Seksyen 109 akta sama dibaca dengan Seksyen 409 akta tersebut yang membawa hukuman serupa.