Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
45 ADUN Kelantan angkat sumpah Khamis ini
Diterbitkan:  Jun 25, 2018 2:09 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Kesemua 45 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan, yang menang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas akan mengangkat sumpah pada Khamis (28 Jun) ini.

Ia merangkumi 37 ADUN dari PAS dan lapan ADUN dari Barisan Nasional (BN).

Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan turut akan dilantik pada majlis angkat sumpah itu yang akan diadakan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah berkenaan tidak akan dihadiri oleh Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Sidang DUN Kelantan bagi penggal pertama akan berlangsung pada 23 Julai ini selama tiga hari dan akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan.

Pada PRU14 lepas, PAS melebarkan jumlah kerusi yang dimenangi kepada 37 berbanding 32 yang dimenanginya pada PRU13 di DUN dengan 45 kerusi itu.

Parti lain yang bertanding seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), serta Amanah dari Pakatan Harapan serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Bebas gagal mendapat sebarang kerusi.

Ia sekaligus menyaksikan tiada wakil rakyat sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen dari Pakatan Harapan yang kini membentuk kerajaan persekutuan, di negeri ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS