Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman Dr M berhubung laporan RCI ditetapkan 28 Ogos

Peguam yang mewakili Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum mendapat arahan sama ada meneruskan atau menarik balik saman bagi membatalkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing oleh Bank Negara Malaysia pada 1990-an.

Peguam Mohd Irzan Iswatt Mohd Noor yang mewakili Dr Mahathir berkata peguam utama Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang juga mewakili perdana menteri belum dapat bertemu dengan anak guamnya bagi mendapat arahan lanjut berhubung kes saman berkenaan yang difailkan pada Disember lalu.

"Pihak kami masih belum berjumpa Dr Mahathir, kita masih menunggu arahan daripada anak guam kami sama ada mahu meneruskan kes atau sebaliknya,” katanya.

Mohd Irzan yang menghadiri prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi di Kuala Lumpur, hari ini juga memberitahu bahawa mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk pendengaran permohonan bantahan awalan daripada pihak defendan.

"Pada tarikh itu (28 Ogos), kami akan memaklumkan kepada hakim sama ada mahu meneruskan kes atau menarik balik. Kalau hendak teruskan, kami akan teruskan pada hari itu juga (28 Ogos) kerana hujahan telah difailkan," katanya kepada pihak media di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob yang mewakili kesemua defendan iaitu pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan, anggota-anggota RCI iaitu Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon, K.Pushpanathanan, Datuk Dr Yusof Ismail, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, anggota Kabinet dan kerajaan.

Pada awal Disember 2017, Dr Mahathir memfailkan saman untuk memohon pengisytiharan bahawa laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia itu adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi dan nota prosiding.

Dalam saman itu, Dr Mahathir memohon pengisytiharan bahawa laporan RCI itu adalah tidak sah, tidak lengkap dan tidak terpakai kerana tidak mengandungi nota prosiding, hujah bertulis dan hujah lisan melalui transkripsi atau rakaman video.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa mana-mana laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah dari segi undang-undang dan terpakai jika ia mengandungi semua kenyataan bertulis oleh saksi-saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, nota prosiding dan dapatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS