Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN l Hari ini Malaysia kecoh dengan ketegasan tidak bertempat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam menggunakan bahasa Cina atau Mandarin sebagai salah satu medium terjemahan kepada bahasa rasmi kerajaan persekutuan iaitu bahasa Melayu.

Guan Eng lupa bahawa bahasa rasmi kerajaan persekutuan adalah bahasa Melayu. Guan Eng juga lupa bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (ABK) serta pekeliling kerajaan persekutuan.

Bukan menafikan hak penggunaan bahasa Cina atau lain-lain bahasa di negara ini, namun penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai salah satu medium utama kerajaan persekutuan adalah satu kesilapan.

Walaupun penggunaan lain-lain bahasa dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun peruntukan di bawah Perkara 152(1)(a) tersebut juga turut secara jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu perlu digunakan dalam urusan rasmi kerajaan.

Nampaknya, Guan Eng telah tersalah tafsir mengenai perkara 152(1) ini. Beliau mungkin lupa bahawa beliau bukan pembangkang lagi.

Malah, seksyen 2 ABK telah menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi semua tujuan rasmi kerajaan.

Ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu adalah kewajipan kepada pihak kerajaan. Dan jika sesuatu perkara rasmi tersebut perlu diterjemahkan, bahasa universal iaitu bahasa Inggeris wajar digunakan.

Walaupun seksyen 3 ABK menyatakan bahawa kerajaan berhak untuk menggunakan terjemahan dalam lain-lain bahasa yang dirasakan perlu demi kepentingan awam, ini tidak memberikan sebab munasabah untuk Guan Eng mengeluarkan terjemahan bahasa Cina sedangkan terjemahan bahasa Inggeris sudah mencukupi.

Jika Guan Eng mahu mempertahankan tindakan beliau menggunakan bahasa Cina sebagai salah satu medium terjemahan, beliau perlu jadi lebih adil. Keluarkan juga terjemahan kenyataan rasmi dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Tamil, malah bahasa-bahasa natif di Sabah dan Sarawak.

Maka di situ akan nampak keadilan yang kononnya didambakan oleh Guan Eng.

Ikrar martabatkan bahasa Melayu

Tindakan Guan Eng ini benar-benar bermotifkan politik dan hanya mahu mendapatkan sokongan daripada kaum Cina di negara ini. Kenyataan beliau sebelum ini bahawa beliau adalah bangsa Malaysia dan bukannya bangsa Cina adalah satu kenyataan hipokrit.

Jika benar beliau ikhlas mengakui bahawa beliau adalah bangsa Malaysia berbanding Cina, seharusnya beliau menjunjung kepentingan bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan di Malaysia adalah bahasa Melayu.

Mungkin Guan Eng juga lupa dengan Perjanjian Pakatan Harapan yang dibuat pada 9 Januari 2016 yang lalu, dan kemudiannya ikrar perjanjian tersebut diulangi dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa kerajaan HARAPAN berjanji untuk memartabatkan bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa ilmu malah sebagai lingua franca (bahasa perantara utama) serantau.

Bagaimana Guan Eng mahu memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini jika beliau sendiri tidak yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara?

Penjelasan dalam bahasa Cina

Keegoan Guan Eng lebih terserlah apabila beliau mengeluarkan kenyataan rasmi beliau mengenai isu ini di laman Facebook beliau, juga dalam bahasa Cina. Kebiadapan apakah yang beliau sedang lakukan terhadap majoriti rakyat Malaysia yang langsung tidak tahu berbahasa Cina?

Jika benar beliau ikhlas mahu menjelaskan isu ini kepada rakyat jelata, beliau sepatutnya menjelaskan isu ini dalam bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya dalam bahasa Inggeris agar semua orang faham.

Apa motif beliau membuat penjelasan isu ini dalam bahasa Cina? Begitu tinggi ego beliau. Beliau telah bertindak biadap kepada majoriti rakyat Malaysia yang tidak faham bahasa Cina sedangkan isu ini adalah isu nasional.

Jika benar beliau mengeluarkan kenyataan media mengenai projek TRX tersebut khas untuk media dari China, mengapa tidak hanya dalam bahasa Inggeris? Bahasa Inggeris adalah lingua franca dunia.

Media China tidak akan mempunyai masalah untuk memahami kenyataan media tersebut dalam bahasa Inggeris.

Mereka sudah membuat liputan pelbagai isu di serata dunia dan kebanyakkan isu dunia adalah dalam bahasa Inggeris, jadi sudah tentu terjemahan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dalam bahasa Inggeris tidak langsung membebankan media China.

Malah, tujuan Guan Eng mengeluarkan terjemahan bahasa Cina demi kemudahan media China sudah bertentangan dengan prinsip yang dibenarkan oleh seksyen 3 ABK iaitu “menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam”.

Media China bukan dalam kategori kepentingan awam.

Terjemahan ikut negara?

Prihatin sungguh Guan Eng dengan kebajikan media China. Selepas ini jika sesuatu isu itu melibatkan negara luar seperti India, Myanmar dan sebagainya, mungkin beliau akan turut mengeluarkan terjemahan mengikut bahasa negara-negara tersebut.

Perlu diingatkan bahawa Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 (Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam) telah secara jelas menuntut agar semua kementerian dan jabatan kerajaan menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan memberikan keutamaan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan kerajaan.

Malah, Pekeliling ini turut menggariskan bahawa lain-lain bahasa yang digunakan sebagai terjemahan kepada bahasa Melayu haruslah kurang menonjol dari segi saiz tulisan, warna dan sebagainya.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 (Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam) juga telah menggariskan panduan bagaimana bahasa Melayu perlu digunakan oleh kerajaan.

Malah, pekeliling tersebut turut menggariskan bahawa semua surat rasmi kerajaan persekutuan di peringkat antarabangsa, adalah digalakkan menggunakan bahasa Melayu dan disertakan dengan terjemahan bahasa Inggeris.

Namun, isu TRX, walaupun melibatkan pelabur dari China, bukanlah isu antarabangsa.

Janji dalam manifesto HARAPAN

Sepanjang Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini, adakah beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam bahasa Cina? Kenapa beliau tidak pernah mulakan sebelum ini?

Kenapa baru sekarang beliau berani untuk berbuat demikian? Adakah kerana beliau takut undi bukan Cina (terutamanya orang Melayu) tidak berpihak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan DAP? Oleh kerana hari ini HARAPAN sudah menakluk Putrajaya, maka PH sudah boleh buat apa yang mereka mahukan sejak sekian lama?

Penjelasan beliau supaya rakyat Malaysia terutamanya pegawai tertinggi kerajaan turut mengikut jejak langkah beliau dalam menggunakan bahasa Cina kononnya untuk memastikan negara kita kekal kompetitif adalah satu kenyataan tidak masuk akal.

Penguasaan bahasa selain daripada bahasa ibunda itu penting, namun tidak semestinya perlu dipraktikkan dalam urusan rasmi kerajaan.

Jelaslah kepada kita pada hari ini bahawa kerajaan HARAPAN tidak berniat untuk menghormati dan menunaikan semua janji-janji mereka dalam manisfesto HARAPAN.

Mereka hanya akan tunaikan apa yang mereka rasakan relevan dan abaikan apa yang mereka sendiri rasakan kurang relevan.

Ingin ditegaskan, penulisan ini bukan bersifat rasis dan sekadar ingin menuntut janji kerajaan HARAPAN memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau dalam manifesto mereka. Masyarakat Malaysia hidup berbilang kaum dan perlu saling hormat menghormati serta saling menyayangi.


HAEME HASHIM Adalah seorang peguam di Kuala Lumpur.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

 

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS