Dr M: Tak perlu tergesa-gesa maklumkan projek HSR pada S'pura
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih samar-samar sama ada kerajaan telah memutuskan untuk membatalkan atau menangguhkan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Ditanya apakah Putrajaya telah memaklumkan Singapura mengenai hasratnya untuk "menarik diri" dari projek itu, beliau memberikan jawapan negatif.
"Kadang-kala kami mengeluarkan kenyataan umum tanpa benar-benar memuktamadkan proses itu.
"Apabila kami mahu membuat keputusan, kami tidak tunggu sehingga kami memaklumkan Singapura, kami hanya mengatakan sesuatu.
"Sudah tentu, mereka mahu tahu, dan kami akan memaklumkan kepada mereka pada waktunya," katanya kepada Channel News Asia.
Ditanya bila Singapura akan dimaklumkan, Mahathir menjawab: "Ia tidak begitu mendesak."
Pada 28 Mei, Mahathir mengumumkan projek itu akan dibatalkan tetapi menyatakan ia memerlukan masa kerana kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian.
Kementerian Pengangkutan Singapura kemudian berkata ia tidak menerima maklumat rasmi mengenai perkara itu dari kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Mahathir memberitahu Asia Nikkei pada 12 Jun bahawa projek itu "ditangguhkan" kerana harga yang terlalu tinggi dan bukan dibatalkan seperti yang disebut sebelumnya.
Beliau mengakui perlunya kereta api berkelajuan tinggi pada masa akan datang tetapi berkata Malaysia "tidak mampu membelinya pada masa ini."
"Kita tidak boleh mengatakan kita tidak akan mempunyai kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia," katanya kepada penerbitan Jepun itu.
Mahathir mengulangi perkara itu kepada media Malaysia dalam persidangan Nikkei di Tokyo, dengan mengatakan pentadbirannya perlu mengkaji semula projek kereta api bernilai jutaaan dolar itu.
"Dalam kata lain, ia ditangguhkan. Pada masa ini, kita perlu mengkaji semula dan jika kita kekurangan dana, kita boleh melewatkan pelaksanaan projek atau mengurangkan skop projek," katanya.
Sebelum ini, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata republik itu menanggung kos projek kerana menanti penjelasan Malaysia bagi menamatkan projek itu.
Terdahulu kerajaan Malaysia menyatakan ia perlu membayar pampasan RM500 juta jika perjanjian itu dibatalkan.
Perjanjian HSR ditandatangani antara Malaysia dan Singapura pada Disember 2016 ketika pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Laluan sejauh 350km itu dijadualkan memulakan perkhidmatan pada Disember 2026 dan akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur sehingga 90 minit, berbanding empat jam dengan menggunakan kereta pada masa ini.

