Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjumpa dengan hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Ketua Pegawai Eksekutif DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Reza Albar dan pegawai tinggi dari Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd China (Geely).

Satu hantaran di akaun twitter Mahathir hari ini mengesahkan bahawa mesyuarat itu berlangsung tetapi tidak menyebutkan nama-nama mereka yang hadir.

Catatan itu menyebut bahawa mesyuarat adalah untuk membincangkan hala tuju pengeluar kereta negara Proton.

"Dr Mahathir juga diberi peluang untuk memandu sendiri Proton SUV yang belum lagi dilancarkan," tulis kenyataan itu berserta gambar-gambar perdana menteri menaiki kenderaan itu.

Proton dijangka memasarkan versi Boyue Geely yang dipasang di negara ini pada akhir tahun ini.

Syed Mokthar menguasai DRB-Hicom, yang memiliki 50.1 peratus saham Proton manakala Geely memegang kepentingan 49.9 peratus.

Mahathir, yang mengasaskan Proton pada tahun 1983 semasa kali pertama sebagai perdana menteri, mengkritik kerajaan BN sebelum ini mengenai perjanjian dengan Geely tahun lepas.

Menerusi blog, beliau mengeluh bahawa Malaysia telah kehilangan ikon kebangsaan itu dengan Proton kini adalah jenama asing.

Pada tahun 2016, Mahathir meletak jawatan sebagai penasihat Proton selepas berbalah dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menafikan bahawa pentadbirannya tidak mempedulikan syarikat pembuat kereta itu yang dalam keadaan tenat akibat perbezaannya dengan Mahathir.

Selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei, Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak berhasrat untuk membeli kembali Proton.

Walau bagamainapun, bercakap pada persidangan Nikkei di Tokyo pada 11 Jun, Mahathir berkata pentadbiran baru sedang meneroka kemungkinan memulakan kereta nasional lain dengan bantuan negara-negara Asia Tenggara.