Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan kaji semula pemberian tiga tanah milik RAC kepada pemaju
Diterbitkan:  Jun 25, 2018 6:32 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula pemberian tiga bidang tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bernilai ratusan juta yang diberikan secara prinsip kepada pemaju swasta sebelum ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Katanya tanah dengan keluasan kira-kira 9.7 hektar di Pudu, Batu Tiga di Shah Alam dan Bangsar diluluskan oleh kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional secara rundingan terus bagi tujuan pembangunan.

“Kesemua tanah ini berada di kawasan utama dan belum ada tandatangan perjanjian cuma setuju secara prinsip. Kita (Kerajaan Pakatan Harapan) akan kaji balik keputusan ini dan saya akan bincang mengenai perkara ini semasa perjumpaan (mesyuarat) Kabinet akan datang.

“Kami menganggarkan nilai tanah itu ratusan juta, walaupun tanpa tender terbuka nilainya adalah besar, bayangkan jika kita boleh membukanya kepada pemaju lain, kami yakin harga akan naik lebih tinggi, ini dapat memberi keuntungan lebih besar pada RAC,” katanya, tanpa mendedahkan nama pemaju swasta terbabit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di RAC di Kajang, hari ini.

Loke berkata berdasarkan penilaian pada 2005, RAC mempunyai aset keseluruhan bernilai RM34.5 bilion dengan aset tanah seluas 12,833 hektar.

Katanya kesemua tanah milik RAC itu adalah tanah berhampiran dengan landasan dan stesen kereta api yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

“RAC mempunyai banyak aset dari segi tanah yang boleh dibangunkan supaya boleh memanfaatkan RAC. Malah pulangan yang diperoleh juga boleh dilaburkan semula kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi meningkatkan kecekapan servis mereka,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata buat masa ini terdapat pertindihan kerja antara RAC dan KTMB dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Katanya RAC perlu kembali kepada tujuan asalnya iaitu menguruskan aset-aset berkaitan kereta api manakala KTMB dengan tugas operasi perkhidmatan penumpang dan kargo.

“Sekarang ini ada banyak pertindihan kerja, oleh itu saya sudah minta supaya satu penstrukturan semula dilaksanakan supaya peranan dapat diasingkan.

“Proses ini akan dilakukan menerusi rundingan dengan pekerja dan persatuan pekerja supaya pandangan dan kebajikan mereka akan terjamin,” katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS