Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BERSATU bercadang melebarkan sayapnya ke Sarawak bagi memenuhi permintaan rakyat negeri itu yang mahukan parti itu bertapak di sana.

Perdana Menteri dan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu juga seiring dengan situasi semasa di negeri itu di mana parti-parti politik dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti PKR dan Amanah telah berada di sana, selain PAS.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa BERSATU tidak akan ke Sabah, kerana negeri itu sudah ada Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dianggap sebagai parti sahabat kepada BERSATU dan Pakatan Harapan.

“Buat masa ini, keadaan di Sarawak adalah semua parti Sarawak membentuk gabungan mereka sendiri. Jadi, memandangkan PKR ada di sana, Amanah ada di sana, malah PAS pun ada di sana, jadi kami berpendapat adalah wajar untuk kami (BERSATU) ke sana,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata BERSATU menerima banyak permintaan daripada anggota Umno untuk menyertai parti itu.

Katanya anggota biasa Umno boleh menyertai terus BERSATU, bagaimanapun pemimpin dan wakil rakyat parti itu perlu ditapis terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

“Kita dapati budaya dan falsafah BERSATU ini berlainan daripada Umno, jadi kalau nak masuk mereka kena belajar dan terima budaya dan falsafah kita,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata BERSATU tidak pernah membincangkan atau membuat keputusan mengenai hasrat dua bekas wakil rakyat Umno iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali untuk menyertai parti itu.

Selain itu, Dr Mahathir berkata BERSATU akan mengadakan majlis rumah terbuka parti itu pada 6 Julai ini di Bukit Merah, Perak dan sambutan ulang tahun kedua parti itu pada September depan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS