Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ mahu susun semula aset Umno, agih pulangan pada bahagian
Diterbitkan:  Jun 25, 2018 11:46 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

Khairy Jamaluddin berkata beliau merancang untuk membuat penstrukturan semula terhadap aset Umno jika menjadi presiden parti itu.

Beliau yang merupakan seorang daripada tiga calon yang merebut jawatan tertinggi parti itu berkata, ia akan membolehkan pulangan daripada aset dapat disalurkan bagi mendanai aktiviti parti di peringkat bahagian.

"Saya janji jika kita dapat uruskan aset dengan baik, dan saya akan bekerjasama dengan golongan profesional dan pemimpin yang ada latar belakang korporat untuk kita susun balik aset Umno.

"Ini supaya ia dapat memberikan pulangan dan jana pendapatan dan akhirnya dapat disalurkan semula ke bahagian-bahagian Umno," katanya dalam sesi Facebook live hari ini.

Dalam sesi itu, beliau membincangkan manifestonya bagi pemilihan Umno yang akan dilangsungkan 30 Jun ini.

Khairy berkata beliau menerima banyak aduan dari peringkat bahagian yang tidak lagi mendapat dana selepas BN tewas pada PRU ke-14.

"Saya (akan) melihat semula perbelanjaan kita, mungkin terpaksa kurangkan perbelanjaan di ibu pejabat.

"Buat apa ada ibu pejabat yang hebat dan gah jika bahagian sendiri tak dapat bantuan kewangan pentadbiran bulanan? Saya akan utamakan akar umbi dan bantuan untuk bahagian.

"Kita boleh kecilkan pejabat, presiden tak perlu ada pejabat besar di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra). Apa salahnya kita belajar hidup susah," katanya lagi.

Walaupun tidak lagi memegang kuasa, Umno tetap mempunyai aset yang besar antaranya PWTC dan Menara Tun Hussein Onn.

Selain Khairy, turut bersaing merebut jawatan presiden adalah pemangkunya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah.

Hari ini, Zahid juga membuat ikrar sama iaitu meneruskan semula dana untuk bahagian Umno tetapi tidak memberikan penjelasan lanjut.

Lihat Komen
ADS