Berita Malaysiakini

Senarai penuh kabinet yang tular tidak tepat - sumber

Norman Goh  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

DIKEMASKINI l Senarai kabinet penuh yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak tepat, kata sumber kerajaan.

"Ia tak nampak macam senarai akhir, walaupun hampir tepat.

"Beberapa nama tiada dan mereka tidak memegang portofolio yang betul. Ini mungkin bukan senarai yang betul," katanya.

Jumaat lepas, Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan nama 15 anggota kabinet tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dua hari sebelumnya.

"Ada seramai 28 menteri kesemuanya, dua orang dari Sabah dan Sarawak. Timbalan menteri juga termasuk, bersama-sama dengan nama-nama senator yang mungkin dilantik juga," katanya.

Antara nama yang disenarai memegang jawatan menteri ialah Datuk Saifuddin Abdullah dari PKR, Khalid Samad Amanah serta Teresa Kok dan Ong Kian Ming dari DAP.

Istana Negara dalam satu kenyataan malam tadi berkata menteri-menteri baru berkenaan akan mengangkat sumpah pada Isnin, 2 Julai.

Seramai 13 menteri telah mengangkat sumpah pada 21 Mei.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata senarai kabinet penuh itu telah dimuktamadkan dan upacara angkat sumpah akan diadakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama yang tersenarai dan mengatakan ia akan diketahui apabila mereka mengangkat sumpah.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak melihat dengan teliti senarai yang tular berkenaan.

"Saya tidak melihatnya betul-betul dan saya rasa PM mungkin akan umumkannya pada Isnin.

"Saya rasa Agong telah mengeluarkan titah mengenai upacara angkat sumpah pada hari Isnin, jadi tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita pagi ini.

Ditanya sama ada kuota wanita 30 peratus akan dipenuhi, Presiden PKR itu menjawab: "Seperti yang saya katakan, saya tak periksa."

Berikut nama menteri dan timbalan menteri mengikut senarai yang tular itu:

Menteri:

  • Khalid Samad (Amanah) - Wilayah Persekutuan
  • Mohamed Din Ketapi (Warisan) – Pelancongan, Seni dan Kebudayaan
  • Yeo Bee Yin (DAP) - Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahaan Cuaca dan Alam Sekitar
  • Syed Saddiq Abdul Rahman (Bersatu) - Belia dan Sukan
  • Sallehudin Ayub (Amanah) – Pertanian
  • Saifuddin Abdullah (PKR) - Luar Negara
  • Darell Leking (Warisan) – Perdagangan Antarabangsa dan Industri
  • Saifuddin Nasution (PKR) – Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
  • Redzuan Yusof (Bersatu) - Pembangunan Usahawan
  • Teresa Kok (DAP) – Industri Utama
  • Baru Bian (PKR) – Kerjaraya
  • Dr Xavier Jayakumar (PKR) – Air, Tanah dan Sumber Asli
  • Mujahid Yusof (Amanah) - Jabatan Perdana Menteri (Agama)
  • Liew Vui Keong (LDP) – Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)

Timbalan menteri:

  • Amiruddin Hamzah (Bersatu) – Kewangan
  • Azis Jamman (Warisan) – Dalam Negeri
  • Hannah Yeoh (DAP) – Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat
  • Teo Nie Ching (DAP) – Pendidikan
  • R Sivarasa (PKR) – Pembangunan Luar Bandar
  • Ahmad Termizi Ramli (Amanah) – Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  • Kamaruddin Jaffar (PKR) - Pengangkutan
  • Eddin Syazlee (Bersatu) – Komunikasi dan Multimedia
  • Mahfuz Omar (Amanah) – Sumber Manusia
  • Sim Tze Sin (PKR) – Pertanian
  • Dr Lee Boon Chye (PKR) – Kesihatan
  • Shahruddin Md Salleh (Bersatu) - Wilayah Persekutuan
  • Bakthiar Wan Chik (PKR) - Pelancongan, Seni dan Kebudayaan
  • Isnaraissah Munirah (Warisan) - Tenaga, Teknologi Sains, Perubahaan Cuaca dan Alam Sekitar
  • Steven Sim (DAP) – Belia dan Sukan
  • Ong Kian Ming (DAP) – Perdagangan Antarabangsa dan Industri
  • Chong Chieng Jen (DAP) – Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
  • Dr Hatta Ramli (Amanah) – Pembangunan Usahawan
  • Shamsul Iskandar Md Akin (PKR) – Industri Utama
  • Fuziah Salleh (PKR) – Jabatan Perdana Menteri (Agama)
  • Hanipa Maidin (Amanah) – Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)
  • Md Farik Md Rafik (Bersatu) - Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Integrasi  Nasional – Bagaimanapun senarai ini tidak menamakan menteri bagi portfolio berkenaan.
    Laporan tambahan oleh Geraldine Tong and Annabelle Lee