Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jualan Harapan Rakyat: FAMA sedia kerjasama, tapi...

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menafikan dakwaan bahawa mereka enggan memberi kerjasama kepada penganjur program Jualan Harapan Rakyat.

Pengarah-pengarah FAMA dalam satu perjumpaan dengan Malaysiakini semalam berkata, lembaga tersebut sentiasa sedia membantu, tetapi pihak penganjur perlu pula harus memberi kerjasama sepenuhnya dan  mengikut prosedur.

Kenyataan itu dibuat berikutan insiden Sabtu lepas apabila program Jualan Harapan Rakyat di Putrajaya terpaksa diadakan di sebuah lot parkir dan dibasahi hujan akibat tidak mendapat ruang di tapak MyFarm milik FAMA.

Menjelaskan perkara tersebut, Pengarah Bahagian Pasar Tani FAMA Rosilawati Abu Hassan berkata ia berlaku kerana wujud salah faham antara kedua-dua pihak.

Kata beliau, penganjur Jualan Harapan Rakyat telah mengedarkan risalah bagi mempromosi program tersebut tanpa menunggu pengesahan daripada pihak FAMA.

"Pada hari Selasa lepas kami terima risalah mereka, dan pada hari sama juga barulah mereka mengemukakan permohonan untuk menjalankan program berkenaan," kata Rosilawati kepada Malaysiakini.

Jelas beliau, perkara ini berlaku ketika umat islam sedang meraikan Aidilfitri dan kebanyakan kakitangan awam masih bercuti.

Timbalan ketua pengarah (pembangunan) FAMA Mansor Omar berkata lembaga tersebut mengalu-alukan program untuk menjual barangan segar pada harga yang murah kepada rakyat, namun prosedur harus diikuti.

"Program ini baik untuk rakyat dan usahawan, tapi kita perlu bincang dahulu," kata beliau.

Beliau mengatakan bahawa pihak penganjur Jualan Harapan Rakyat perlu berbincang dahulu rancangan mereka bersama dengan usahawan dan peniaga lain yang beroperasi di pasar tani dan MyFarm Outlet FAMA.

Ini untuk memastikan peniaga skala kecil bersedia untuk menurunkan harga jualan supaya tidak jauh berbeza dengan harga diskaun yang ditawarkan oleh Jualan Harapan Rakyat.

Langkah tersebut akan memastikan semua peniaga terlibat dapat kongsi keuntungan, dan tiada peniaga skala kecil yang mengalami kerugian dan kerosakan barang jualan akibat tidak dapat menurunkan harga.

"Harga ayam yang Jualan Harapan Rakyat tawar, RM5.99, memang murah. Jadi kami kena pastikan bahawa usahawan yang menjual ayam dapat tawar harga yang sama atau sedikit rendah," kata Mansor.

Pengarah FAMA Wilayah Persekutuan Mohd Radzuan Md Nor berkata, peniaga skala kecil yang beroperasi di tapak-tapak FAMA perlu mendapat keuntungan yang lebih sedikit daripada syarikat besar - contohnya menjual ayam untuk mendapat keuntungan RM1.

Jelas beliau, ini adalah kerana peniaga skala kecil tidak mampu membeli barang jualan dengan jumlah yang sangat banyak untuk mendapat harga murah seperti dilakukan syarikat-syarikat besar seperti Nurani Resources - salah satu penganjur Jualan Harapan Rakyat.

Sebagai langkah penyelesaian kemelut antara FAMA dan Jualan Harapan Rakyat, Mansor berkata pihak lembaga telah berjumpa dengan penganjur program.

Perjumpaan lanjut juga akan diadakan bersama usahawan-usahawan FAMA untuk membincang program Jualan Harapan Rakyat yang bakal diadakan diseluruh negara.

"Kami mahu cari penyelesaian yang baik untuk semua pihak," kata beliau.

Turut serta dalam perbincangan bersama Malaysiakini semalam adalah timbalan ketua pengarah (pembangunan usahawan) Datuk Dr Sani Mat Hasan, dan pengarah komunikasi korporat FAMA Asmizal Jaafarr.

Jualan Harapan Rakyat pertama diadakan pada 10 Jun lalu. Program tersebut mengundang kontroversi apabila logo Pakatan Harapan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan FAMA digunakan tanpa izin.

Pihak penganjur telah pun meminta maaf atas kesilapan tersebut, dan tidak lagi menggunakan logo-logo tersebut.

Lihat Komen
ADS