Lima puluh lima daripada 56 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor hari ini mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Shah Alam.

Majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari yang juga ADUN Sungai Tua, diikuti 10 anggota Exco dan ADUN yang lain.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker yang baharu dilantik, Ng Suee Lim.

ADUN Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei tidak hadir atas faktor kesihatan.

Sebelum itu, Ng, 47, yang juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor mengangkat sumpah sebagai Speaker menggantikan bekas ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan yang kini Anggota Parlimen Segambut.

- Bernama