Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dijadual melawat China bulan depan, seperti dilaporkan portal negara itu hari ini, kata sumber Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Setahu saya, tiada yang telah pasti setakat ini. (Jadual Mahatir pada) Julai terlalu padat.

"Sesi parlimen pun ada,” katanya.

Memetik sumber kerajaan, portal Dwnews melaporkan Mahathir merancang melawat China pada penghujung Julai, mungkin pada 21 dan 22 hari bulan.

Laporan itu menyebut kedua-dua negara sedang menetapkan tarikh dan perincian lawatan itu bagi membincang projek-projek ekonomi dan perdagangan.

Dwnews yang berpangkalan di Amerika Syarikat tetapi menulis dalam bahasa Cina turut melaporkan Mahathir merancang bertemu beberapa peneraju perniagaan negara itu.

Setelah dilantik sebagai perdana menteri sekali lagi, Mahathir baru melawat Jepun.

Beliau sebelum ini berkata akan melawat Beijing bila mempunyai kelapangan.