Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

ULASAN l Umumnya rakyat Malaysia mengenal sosok tubuh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang rakan yang amat rapat kepada Datuk Seri Najib Razak. Beliau juga dilihat sering mempertahankan mantan bosnya itu walau dalam apa isu sekali pun.

Oleh kerena itu, ada yang merasakan Zahid kurang sesuai menggalas beban tugas bagi mengemudi Umno selepas tragedi pilihan raya umum 9 Mei.

Pelbagai tuduhan liar dilemparkan kepada Zahid. Malah ada yang mengambil kesempatan ini, bagi mencuri tumpuan dengan mengumumkan turut sama bertanding mengisi jawatan nombor wahid dalam Umno itu.

Zahid dirasakan tidak sesuai menjadi presiden kononnya dia teman setia Najib. Dia juga harus berundur untuk mengambil tanggungjawab di atas kekalahan teruk Umno dan BN.

Dia harus menamatkan karier politiknya saat ini, waktu ini dan diketika ini juga! Itulah yang menular di media-media sosial, tidak kurang juga musuh politik seberang sana juga mengambil kesempatan yang sama mendesak Zahir berundur.

Malahan, calon presiden yang pernah menjadi bekas calon presiden di era 80-an juga menyelar Zahid kerana merangkak menyembah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Orang yang tidak digemari Dr Mahathir

Ironinya, ahli Umno mungkin lupa menyingkap sejarah siapa Zahid sebenarnya. Zahid bukan saja memberikan wala’nya kepada Najib, namun dia juga pernah wala’ kepada semua presiden Umno sebelum ini.

Bermula di era Tun Hussein Onn, Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Najib, Zahid tidak pernah celupar dan membuat gerakan menjatuhkan mana-mana perdana menteri ketika itu.

Wala’ beliau ketika krisis Anwar-Mahathir di era reformasi, beliau pernah dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau ditangkap di Kota Kinabalu dan dibawa balik ke Kuala Lumpur.

Selepas dibebaskan, tiada siapa yang berani rapat dengan beliau. Berjabat salam dengannya juga orang takut dan sungkan-sungkan. Tetapi beliau tidak pernah berkecil hati malah terus kekal di dalam perjuangan bersama Umno.

Beliau orang yang tidak digemari Dr Mahathir, tetapi beliau tidak pernah membuat gerakan untuk menjatuhkan Mahathir. Hormatnya kepada presiden dan perdana menteri tetap subur berkembang mekar.

Itulah Zahid Hamidi!

Ketika menyertai kabinet Najib, Zahid tetap menjadi Zahid. Dikorbankan populariti dirinya walaupun terpaksa terpalit dengan pelbagai tuduhan kononnya beliau bersekongkol dengan tuduhan kleptokrat bersama bekas bosnya, Najib.

Beliau amat mengerti dan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Beliau adalah ahli jemaah menteri, apatah lagi beliau juga adalah timbalan perdana menteri. Selagi tiada tuduhan dan dakwaan dan didapati bersalah oleh mahkamah, beliau yakin bahawa seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah.

Itu juga yang dilaungkan oleh perdana menteri ke-7, menegakkan ‘The Rule of Law’. Lantaran itu, Zahid telah menunjukkan sikapnya yang terpuji dengan mencuba sedaya mungkin menjadi pengikut yang baik dan setia.

Bukan seorang kleptokrat

Inilah ciri-ciri yang diperlukan dalam kepimpinan Umno dan menjadi rahsia bertahannya Umno di persada selama lebih 60 tahun.

Bukanlah mudah untuk mengelakkan perpecahan dalam dasawarsa enam dekad itu. Zahid melalui suatu tempoh yang lama, 32 tahun sebelum memegang jawatan orang nombor dua dalam kerajaan dan parti.

Itu sudah cukup untuk menjadikan beliau lebih berketrampilan memegang jawatan nombor satu pula.

Sepanjang menggalas tugas dalam kerajaan dan parti, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Apalagi membiarkan ahli parti tanpa diambil peduli.

Seluruh pelusuk dijelajahinya, mengambil tahu denyut nadi ahli dan rakyat. Tidak ada satu hari pun dibazirkan tanpa bertemu rakyat. Tidak pernah beliau meninggalkan mana-mana Perhimpunan Agung Umno. Malah setia meraikan dan menyantuni semua perwakilan dalam pelbagai acara.

Itulah Zahid Hamidi!

Beliau bukan seorang kleptokrat yang merompak wang rakyat. Tanyalah, berapa banyak budi yang ditabur tanpa mengharap balasan untuk dituai.

Beliau kini hanya mengharapkan perwakilan memberi pertimbangan, bekerja bersama-sama beliau memastikan Umno bangkit semula.


DATUK ALEXANDER NOOR adalah ahli Umno yang mengikuti politik tanah air sejak 1970an.

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS