mk-logo
Berita
Penduduk tiada IC bukan isu orang India saja, kata Latheefa
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 6:38 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Panel (kokus parlimen) mengkaji isu penduduk tanpa kerakyatan di Malaysia yang ditubuhkan Pakatan Harapan (HARAPAN) ditegur pengasas Lawyers for Liberty, Latheefa Koya kerana hanya membariskan orang India sahaja.

Beliau berhujah isu sebegini merupakan kepentingan negara dan tidak boleh dilihat daripada sudut etnik semata-mata.

"Inilah masa dan peluang untuk memecahkan acuan perkauman dalam menangani masalah rakyat.

"Kita tidak patut kembali kepada cara BN dengan melepaskan (isu ini) kepada pemimpin dan wakil rakyat komponen parti India untuk membentuk panel (kokus parlimen) atau kumpulan untuk mengadakan sidang akhbar dan menghantar petisyen kepada kerajaan bagi menuntut melaksanakan perubahan.

"Kenapa ada lagi pemimpin India yang ditinggalkan untuk mengambil isu-isu orang India, yang sepatutnya menjadi perhatian semua pemimpin kerajaan dan wakil rakyat, tanpa mengira kaum?" Soal peguam itu dalam satu kenyataan hari ini.

'Penduduk tanpa IC isu semua kaum'

Panel (kokus parlimen) yang dimaksudkan Latheefa terdiri daripada 20 Anggota Parlimen (MP) HARAPAN termasuk Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, MP Batu Kawan Kasthuri Patto, MP Kuala Langat Xavier Jeyakumar, MP Klang Charles Santiago, MP Sungai Buloh R Sivarasa, MP Batu P Prabakaran dan ADUN Perai P Ramasamy.

Semalam, mereka mengadakan sidang akhbar mengesahkan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan yang dihadapi masyarakat India dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan pada 9 Mei, seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 HARAPAN.

Santiago, khususnya, mengatakan masalah penduduk tiada kad pengenalan (IC) merupakan isu yang dihadapi oleh semua kaum.

"Pejabat saya dalam tiga minggu terakhir membuka kaunter (pendaftaran) dan kami menerima bukan sahaja orang India tetapi juga orang Melayu, Cina dan lain-lain," katanya pada sidang media itu.

Latheefa, yang juga anggota majlis tertinggi PKR, berkata isu kewarganegaraan mestilah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan seluruh kabinet, bukannya kokus parlimen.

Tugas KDN

"Ia sebenarnya tugas Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah penduduk tanpa kerakyatan ini.

"Mereka mempunyai kuasa undang-undang, sumber dan logistik untuk menamatkan masalah penduduk tanpa kewarganegaraan ini sekali gus," katanya.

"[...] Adalah lebih baik untuk pelbagai aspek masalah sosio-ekonomi orang India ditangani dan diselesaikan oleh kabinet secara keseluruhan, dengan penyertaan rapat dan penglibatan kementerian masing-masing," katanya.

Peguam itu sebelum ini mewakili beberapa penduduk tanpa IC, termasuk pelajar cemerlang STPM Roisah Abdullah.

Lihat Komen
ADS