Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SUPP bantah BERSATU bertapak di Sarawak
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 10:38 PM
Dikemaskini: 2:42 PM

Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) membantah kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Bumi Kenyalang.

Dalam suatu kenyataan, presidennya, Dr Sim Kui Hian menyamakan BERSATU mengamalkan politik perkauman gaya Umno dan berkata rakyat Sarawak tidak akan "pernah bersetuju" dengan langkah sedemikian.

"Parti politik pimpinan Dr Mahathir Mohamad, iaitu BERSATU merancang untuk masuk ke Sarawak. Ia mencerminkan pencerobohan politik dan meremehkan hak-hak Sarawak oleh sebuah parti politik yang berpengkalan di Semenanjung Tanah Melayu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Majoriti pemimpin BERSATU ialah bekas pemimpin Umno (dan) ia adalah parti politik perkauman yang menjaga kepentingan satu kaum tunggal, yang penuh dengan warna perkauman Umno.

"Bertapaknya BERSATU akan menghakis keharmonian kaum yang dinikmati rakyat Sarawak selama ini. Rakyat Sarawak tidak akan menyokong kemasukan BERSATU," katanya hari ini.

Lebarkan sayap BERSATU ke Sarawak

Semalam, Pengerusi BERSATU Dr Mahathir berkata partinya merancang untuk melebarkan sayapnya ke Sarawak.

Parti komponen HARAPAN, PKR, DAP dan AMANAH memiliki bahagian di negeri Malaysia Timur itu.

Sim turut menempelak parti komponen HARAPAN, terutamanya DAP kerana tidak menghalang keputusan BERSATU itu.

"Ketika BN berkuasa, Sarawak dapat menghentikan kemasukan Umno. Tetapi sekarang, pemimpin HaARAPAN seperti (MP DAP dari Stampin) Chong Chieng Jen dan (MP PKR dari Selangau) Baru Bian, bolehkah mereka menghentikan Bersatu daripada bertapak di Sarawak?

"Adakah mereka berani memberitahu Dr Mahathir bahawa Sarawak tidak mahukan BERSATU?" Soal beliau.

Sim tewas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pada PRU14 lalu.

Susulan kekalahan BN dalam PRU14, SUPP antara empat parti yang meninggalkan BN bagi membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

GPS yang menjadi parti pemerintah kerajaan negeri, sebelum ini bersetuju untuk "bekerjasama" dengan kerajaan persekutuan yang ditadbir HARAPAN.

Lihat Komen
ADS